DUNIA

Biden Adakan Perbincangan Dengan Marcos Tentang Keselamatan Laut China Selatan - Rumah Putih

12/04/2024 11:18 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dalam pertemuan dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr membincangkan beberapa perkara termasuk keselamatan maritim di  Laut China Selatan.

Dalam satu kenyataan akhbar, Rumah Putih berkata Biden bertemu Marcos di kediaman rasmi Presiden Amerika itu pada Khamis. 

“Presiden Biden dan Presiden Marcos menegaskan komitmen mereka terhadap undang-undang antarabangsa di Laut China Selatan. 

Biden mengukuhkan komitmen perikatan AS dengan Filipina di bawah Perjanjian Pertahanan Bersama AS-Filipina  yang dilanjutkan sehingga merangkumi serangan bersenjata ke atas angkatan tentera Filipina, kapal awam atau pesawat termasuk yang dimiliki Pengawal Pantai - di Pasifik termasuk di mana-mana lokasi di Laut China Selatan,” menurut kenyataan akhbar itu. 

Biden, Marcos dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berada di Washington untuk sidang kemuncak trilateral pertama kali seumpama itu pada Khamis.

Kenyataan Akhbar Rumah Putih itu berkata kedua-dua presiden mengalu-alukan momentum  yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam hubungan AS-Filipina.

Kedua-dua presiden juga melihat semula inisiatif untuk mempertingkatkan keselamatan ekonomi dan tenaga, memperkukuhkan kerjasama maritim,  melabur dalam infrastruktur kritikal, mengukuhkan komitmen bersama mereka untuk mempromosi demokrasi, hak asasi manusia dan mengeratkan hubungan sesama rakyat.

Ketegangan antara China dan Filipina di Laut China Selatan meningkat berikutan insiden di kawasan perairan bulan lepas termasuk penggunaan meriam air dan pertikaman lidah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan