AM

PEMBINAAN KERETA KABEL BUKIT BENDERA BERMULA SEBULAN LAGI - EXCO

14/04/2024 02:50 PM

GEORGE TOWN, 14 April (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan Kereta Kabel Bukit Bendera di sini dijangka bermula pada penghujung Mei atau awal Jun ini dan siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tingga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata ketika ini Perbadanan Bukit Bendera sedang menjalankan Penilaian Impak Trafik untuk membolehkan projek itu dimulakan.

Beliau berkata kebenaran merancang bagi projek mega Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM250 hingga RM300 juta itu telah diluluskan Januari lepas.

"Kita telah mendapat kelulusan daripada semua pihak antaranya Penilaian Kesan Alam Sekitar dari Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perancangan Fizikal Negara, kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA) bagi menjalankan projek itu,” katanya selepas menghadiri Karnival Raya Aidilfitri Parlimen Bukit Bendera di Sekolah Kebangsaan Jalan Residensi di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid.

Zairil berkata jajaran kereta kabel sepanjang 2.7 kilometer itu akan bermula di Taman Botani sehingga ke puncak Bukit Bendera dan akan memberi impak pelancongan di kawasan sekitar.

"Perjalanan ke puncak akan mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja iaitu masa yang sama diambil jika pengunjung menaiki kereta api funikular ke puncak berkenaan dan ia merupakan alternatif terutama ketika musim cuti sekolah yang selalunya sesak sehingga perlu menunggu lama," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek kereta kabel Bukit Bendera secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) itu merupakan mod pengangkutan yang paling mesra alam.

Mengulas mengenai segelintir pihak dan pertubuhan bukan kerajaan yang masih menentang projek kereta kabel itu, Zairil berkata kerajaan negeri sentiasa mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

''Tidak ada undang-undang yang kita tidak ikuti, semua kelulusan juga telah diperoleh malah projek ini juga ialah projek mesra alam malah kesannya kepada alam sekitar amat minimum, bilangan pokok yang dipotong juga sedikit dan tidak ada pokok warisan yang akan dipotong," katanya.

Syarikat gerabak dan perkhidmatan rel bersepadu terkemuka Hartasuma Sdn Bhd memenangi projek kereta kabel itu dengan pelaburan RM250 juta yang dibuat menerusi inisiatif perkongsian awam swasta dengan kerajaan Pulau Pinang.

Permohonan cadangan (RFP) bagi perkhidmatan kereta kabel Bukit Bendera bermula pada 13 Jan 2021 dan dilanjutkan hingga 30 Nov 2022 berikutan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan