EKONOMI

Matrade Sasar Perkenal Mihas Ke Pasaran Sedang Pesat Membangun

19/04/2024 10:07 AM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang merangka pelan pengembangan peluang perniagaannya untuk memperkenalkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke pasaran sedang pesat membangun. 

Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ini selari dengan wawasan MATRADE untuk menjalin perkongsian antarabangsa dan mempromosikan produk Malaysia kepada khalayak yang lebih meluas.

“Kami sedang merangka pelan pengembangan kami di luar dari Dubai untuk meneroka peluang memperkenalkan MIHAS ke pasaran seperti China, Eropah dan Asia Tengah.

“Dengan berkembang ke rantau ini, kami berusaha untuk mencipta peluang baharu bagi perdagangan dan kerjasama, yang bakal melonjakkan MIHAS ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini,” katanya dalam ucapan alu-aluan beliau pada pada majlis prapelancaran MIHAS, hari ini.

MATRADE bakal menganjurkan MIHAS@Dubai pada 18-20 Nov, 2024 dan menyasar meraih jualan berjumlah RM1 bilion.

Beliau berkata MIHAS@Dubai adalah bukti komitmen agensi itu terhadap penjenamaan Malaysia dan berharap pameran tersebut akan menjadi saluran untuk meningkatkan reputasi negara sebagai peneraju dalam industri halal global.

Sementara itu, Reezal Merican berkata edisi ke-20 MIHAS (MIHAS 2024) yang menampilkan 2,000 reruai pameran dari 45 negara termasuk Malaysia, disasar menarik lebih 40,000 pengunjung perdagangan.

Pameran itu yang bertemakan “Globalising Halal Innovations” (Mengglobalisasikan Inovasi Halal)  mempamerkan produk, perkhidmatan dan teknologi halal yang paling inovatif melalui 14 kluster terpilih termasuk bahan halal sebagai kluster terkini.

Beliau berkata elemen inovasi dan kemampanan akan dipamerkan dalam produk dan perkhidmatan yang dipromosikan semasa MIHAS 2024.

“Segmen produk ini termasuk farmaseutikal, kewangan Islam, teknologi kewangan, gaya hidup, fesyen sederhana, ramuan makanan dan perkhidmatan berkaitan,” katanya.

Selain daripada pameran itu, 500 pembeli antarabangsa dijangka mengambil bahagian dalam Program Penyumberan Antarabangsa, termasuk 20 pembeli premium dalam mesyuarat yang telah diatur, yang akan diadakan secara maya atau fizikal, dengan pengeksport Malaysia.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata industri halal menjadi salah satu keutamaan MITI dan MIHAS merupakan antara platform paling berkesan untuk menghubungkan perniagaan halal di seluruh dunia.

“Tahun lepas merupakan pencapaian terbaik bagi MITI dan MATRADE dengan peserta pameran meraih jualan bernilai RM3.20 bilion, sekali gus menonjolkan MIHAS sebagai peneraju dalam perdagangan halal global,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis itu yang disampai secara maya.

MIHAS 2024 dihoskan oleh MITI dan dianjurkan oleh MATRADE. Pameran itu akan berlangsung dari 17-20 Sept di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan