REMBAU, 19 Jun (Bernama) -- Tiada unsur buli dikesan setakat ini dalam kejadian membabitkan pelajar perempuan tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Seremban hari ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata pelajar berusia 16 tahun itu juga dilaporkan berada dalam keadaan baik selain tidak menunjukkan sebarang elemen luar biasa sebelum kejadian tersebut.
“Setakat ini semasa saya berbual dengan ibu bapa kepada arwah sebentar tadi, tidak ada berbangkit tentang isu buli dan sebagainya. Mengikut apa yang dimaklumkan, arwah berada dalam keadaan baik seperti biasa ketika hadir ke sekolah pagi tadi.
“Bagaimanapun jabatan pendidikan negeri dan pihak sekolah diarahkan untuk meneliti kes ini untuk kenal pasti punca yang boleh membawa kepada kemalangan ini. Setakat ini tiada maklumat yang menunjukkan pelajar berkenaan mempunyai sebarang rekod perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga pelajar itu yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Unit Forensik Hospital Rembau di sini malam ini.
Mohd Azam berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan selain menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau rakaman kejadian bagi menghormati privasi keluarga selain mengelakkan gangguan terhadap emosi mereka.
Pada masa sama, beliau berkata KPM akan menyediakan sokongan psikososial kepada ahli keluarga, rakan sekelas dan guru yang terkesan dengan kejadian itu.
“Kita berharap masyarakat dapat bersama-sama memberikan sokongan kepada keluarga arwah dengan mendoakan yang baik-baik dan menghormati privasi mereka dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.
Mohd Azam berkata kejadian berlaku pada hari pelaporan akademik sekolah yang bertujuan memaklumkan ibu bapa mengenai perkembangan dan pencapaian anak masing-masing dengan bapa mangsa turut berada di sekolah.
“Arwah dikatakan meminta izin ke tandas sebelum dimaklumkan berkenaan kejadian itu. Saya harap keluarga reda dengan kejadian ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung pelajar berkenaan yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah di sini pada 10.48 pagi.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan polis meneruskan siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan beberapa saksi serta laporan bedah siasat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial