AM

LAPANGAN TERBANG SIBU LENGANG SUSULAN PEMBATALAN PENERBANGAN

18/04/2024 04:50 PM

SIBU, 18 April (Bernama) -- Sepuluh penerbangan dari Lapangan Terbang Sibu di sini dibatalkan petang ini selepas arahan pembatalan penerbangan ke Sabah dan Sarawak dibuat berikutan kejadian Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia meletus.

Tinjauan Bernama di lapangan terbang itu mendapati tidak ramai penumpang yang masih menunggu penerbangan mereka kerana kebanyakannya telah balik selepas selesai urusan menukar penerbangan dengan syarikat penerbangan terlibat. 

Ahli perniagaan, BC Tan, 77, yang ke lapangan terbang itu untuk menghantar rakannya berkata dia mendapat tahu tentang pembatalan penerbangan hari ini pada kira-kira 8.30 pagi tadi.

"Anak lelaki saya kemudian menelefon saya pada lebih kurang 9 pagi mengesahkan kesahihan berita itu," katanya ketika ditemui.

Menurutnya rakan yang mahu ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat AirAsia telah ke pejabat jualan syarikat itu untuk mendapatkan tiket ke Kuching sebelum meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu.

Namun, katanya semua penerbangan laluan Sibu ke Kuching dan Kuching ke Kota Kinabalu turut dibatalkan.

Seorang ahli perniagaan dari Singapura, Ang Puay Koon, 67, pula berkata dia terpaksa menunggu satu malam lagi di Sibu untuk penerbangan seterusnya ke Kota Kinabalu.

"Itu pun belum tentu lagi bila penerbangan akan beroperasi seperti sedia kala. Kita kena tunggu hingga keadaan mengizinkan," katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan Lapangan Terbang Sibu yang enggan dikenali memberitahu semua penumpang faham dengan situasi yang berlaku dan tenang menguruskan penerbangan masing-masing ke hari lain.

Menurutnya lima penerbangan dapat berlepas pada pagi tadi sebelum arahan pembatalan dikeluarkan.

"Dua pesawat iaitu AirAsia dan Batik Air berlepas ke Kuala Lumpur manakala dua pesawat MasWings berlepas ke Miri dan sebuah pesawat AirAsia berlepas ke Kuching," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan