BERITA TERGEMPAR   Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 SUKAN

SUKMA: SARAWAK MAHU GUNA KELEBIHAN SEBAGAI TUAN RUMAH UNTUK MUNCUL JUARA

02/05/2024 01:54 PM

KUCHING, 2 Mei (Bernama) -- Sarawak mahu menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini untuk muncul sebagai juara temasya sukan dwi-tahunan itu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata buat masa ini Sarawak belum menetapkan secara terperinci sasaran pingat pada temasya itu, namun beliau yakin status sebagai tuan rumah merupakan satu kelebihan.

“Juara keseluruhan memang sukar dicapai untuk Sarawak. Kali terakhir kita menjadi juara keseluruhan adalah kira-kira 30 tahun dulu. Selepas 1994, sama ada kita dapat kedudukan naib juara, tempat ketiga atau keempat.

“Biasanya kita berada dalam kelompok lima terbaik, tapi tidak pernah jadi juara (sejak 1994). Saya telah beritahu atlet - tahun ini pastikan kita jadi juara,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pada 30 April lepas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) secara rasmi bersetuju 488 acara dipertandingkan pada temasya SUKMA Sarawak 2024 dari 17 hingga 24 Ogos ini, dan Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan jumlah acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 campuran.

Venue pertandingan ditetapkan di sembilan bahagian di seluruh Sarawak, yang terdiri daripada Kuching dengan 25 jenis sukan, Miri (enam jenis), Sibu, Mukah dan Bintulu masing-masing tiga jenis sukan, Samarahan (dua jenis), Serian dan Sri Aman masing-masing satu jenis sukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan