AM

BERNAMA BOLEH BERKEMBANG DAN KUASAI POTENSI DALAM LANDSKAP MEDIA BAHARU - PENGERUSI

18/04/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) boleh berkembang dengan perubahan landskap media dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai sumber berita yang dipercayai untuk menghasilkan lebih banyak pendapatan, kata Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Beliau berkata landskap media telah berubah apabila ramai yang beralih ke platform media sosial untuk kandungan berita harian dan mereka kini lebih berminat dengan berita yang disampaikan melalui pelbagai platform yang lebih santai dan kasual.

"Terdapat banyak cara untuk menyampaikan berita. Walaupun Bernama dikenali sebagai agensi berita kerajaan, saya rasa kita boleh menambah baik dan pergi lebih jauh dengan didorong secara komersial tetapi menarik, contohnya berita yang menarik minat orang ramai dan hiburan.

"Media sosial sepatutnya memainkan peranan lebih besar untuk Bernama. Kita perlu menggunakannya sepenuhnya," kata beliau selepas majlis makan tengah hari bersempena dengan Aidilfitri oleh Bernama di sini hari ini.

Wong berkata beliau berusaha membantu Bernama dalam meningkatkan pendapatannya tahun ini dan menarik lebih banyak saluran media kepada perkhidmatannya.

"Saya telah berjumpa dengan ramai penaja dan kumpulan media, meyakinkan mereka untuk melabur wang kepada Bernama kerana kita ialah pihak yang mengedarkan berita.

"Bernama telah berjaya memainkan peranan dalam menyampaikan berita yang terbaik, bertanggungjawab dan dipercayai," kata Wong.

Mengenai majlis makan tengah hari itu, Wong berkata ia diadakan untuk meneruskan tradisi Bernama dalam menghargai dan meraikan kakitangan, pasukan pengurusan serta pelanggan dan rakan media semasa perayaan ini.

Beliau berkata majlis itu yang dihadiri kira-kira 100 orang merupakan peluang yang baik untuk memperkukuh persahabatan.

"Bernama akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya bulan depan," kata beliau.

Antara tokoh media yang hadir hari ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Presiden Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Yong Soo Heong, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Datin Paduka Esther Ng. 

Turut hadir bekas Pengerusi Bernama antaranya Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj serta pasukan pengurusan tertinggi dan petugas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan