AM

Rumah Terbuka Aidilftri Cidb Meriah, 1,200 Pengunjung Hadir

18/04/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 18 April, (Bernama) -- Kira-kira 1,200 pengunjung menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang berlangsung hari ini yang diadakan dengan kerjasama beberapa anak syarikat di bawah agensi tersebut.

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata rumah terbuka berkenaan diadakan bagi menghargai kerjasama yang baik daripada pelbagai pemain industri pembinaan, konsultan dan kontraktor kepada agensi itu dalam tempoh sekian lama. 

"Majlis ini adalah sebagai tanda kita memberikan semula rasa terima kasih kepada mereka yang telah menyokong kita selama ini dalam industri pembinaan.

"Majlis boleh dikatakan juga sebagai hari terbuka CIDB sebuah agendi di bawah Kementerian Kerja Raya dan ia merupakan acara tahunan yang diadakan setiap tahun dan berhenti seketika sewaktu negara dilanda pandemik COVID-19 dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Majlis Interaksi dan Sambutan Aidilfitri Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan anak syarikat bersama industri di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari.

Turut hadir adalah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi CIDB Yusuf Abdul Wahab.

Beliau berkata atas dasar berjimat cermat seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan, pihaknya telah mengajak beberapa anak syarikat di bawah agensi itu untuk bersama-sama menyumbang bagi menjayakan rumah terbuka tersebut.

"Antara anak syarikat yang terbabit adalah Akademi Binaan Malaysia iaitu pelaksana untuk melaksanakan program latihan membabitkan pelatih binaan yang terlibat secara langsung dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), kita di malaysia ingin menjadi peneraju kepada TVET dalam industri pembinaan.

"Selain itu CIDB Technologies Sdn. Bhd. (CIDB Tech) iaitu sama dalam bidang TVET melibatkan bidang minyak dan gas, perkimpalan datang bersama-sama hari ini meraikan dan tidak lupa juga kepada koperasi kita yang banyak menyumbang diwakili oleh semua staff CIDB," katanya.

Mohd Zaid mewakili semua warga CIDB turut mengucapkan terima kasih dan memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan sepanjang majlis itu berlangsung dan berharap dapat berjumpa lagi tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan