AM

MINDEF KERJASAMA DENGAN KKR PASTIKAN PROJEK LIBAT KEMENTERIAN BERJALAN LANCAR

18/04/2024 09:29 PM

JOHOR BAHRU, 18 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memastikan pelaksanaan projek-projek yang melibatkan kementerian itu berjalan lancar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya berperanan dalam melakukan pemantauan manakala KKR pula melibatkan aspek teknikal dan sebagainya.

“Kita (MINDEF-KKR) ada mesyuarat secara berkala untuk melihat sesuatu projek (sama ada) ikut jadual atau lewat ikut jadual dan bagaimana prestasi kontraktor juga.

“..dan memang cara kerajaan, semua projek KKR laksana kerana ia agensi terknikal, kita (MINDEF) pula dari segi memantau projek berkaitan (di bawah kementeriannya),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Johor di  Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kementeriannya sentiasa memantau pelaksanaan projek-projek berkaitan susulan isu pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang lambat siap.

Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan berkata kegagalan subkontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja pendawaian, menjadi punca projek pembinaan kolam selam tempur di kem itu lambat disiapkan mengikut jangkaan.

Beliau berkata meski projek itu merupakan projek MINDEF, namun ia dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sekiranya berlaku kelewatan pembinaan, kontraktor yang terbabit akan dikenakan penalti.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam itu yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan selain papan tanda projek dirobohkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan