EKONOMI

MALAKOFF TEROKA PELUANG KERJASAMA DENGAN SYARIKAT TENAGA KOREA SELATAN

24/07/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Malakoff Corp Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malakoff Power Bhd, merancang untuk meneroka peluang kerjasama dengan Korea South-East Power Company (KOEN).

Bagi mencapai matlamat itu, syarikat berkenaan memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan KOEN untuk memudahkan proses pertukaran maklumat, perkongsian pengalaman dan amalan baik dalam operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa, termasuk pengurusan rantaian bekalan, lawatan tapak beserta bengkel teknikal dan latihan.

"KOEN cemerlang dalam pembangunan dan operasi sumber kuasa elektrik, termasuklah loji janakuasa dan kemudahan yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KOEN, ialah sebuah syarikat tenaga perbadanan awam yang ditubuhkan semasa penstrukturan semula industri tenaga Korea Selatan pada April 2001, membekalkan kira-kira 10 peratus daripada tenaga elektrik di Korea.

Fasiliti yang dimiliki syarikat itu termasuk arang batu, biojisim, loji janakuasa LNG dan teknologi tenaga boleh baharu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata kerjasama ini akan membolehkan Malakoff Group menggunakan teknologi baharu, meningkatkan kecekapan operasi dan menyumbang kepada keterjaminan tenaga negara.

"Kerjasama ini membolehkan kami menggunakan amalan baik untuk mengurus dan meningkatkan aset loji janakuasa, termasuk menyesuaikan dengan penyepaduan tenaga boleh baharu (RE) ke dalam grid dan penggunaan bahan api biojisim.

"Syarikat juga menyasarkan lima peratus kombinasi pembakaran melalui biojisim ke dalam Loji Janakuasa Tanjung Bin di Johor, dan seterusnya mencapai 15 peratus menjelang 2027, oleh itu, kepakaran ini memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat kami," katanya.

Di samping itu, beliau berkata kerjasama itu menyokong penghijauan loji janakuasa dengan menggalakkan penggunaan semula dan mengitar semula sisa arang batu, seperti menggunakan teknologi yang dipatenkan berkaitan dengan kitar semula abu bawah, dan memudahkan penggunaan teknologi bersih termaju.

"Saya percaya bahawa kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja akan membolehkan kami menaikan taraf dan meningkatkan prestasi loji kami, malah turut mengukuhkan komitmen kami untuk menyalurkan tenaga tanpa gangguan kepada negara," kata Anwar Syahrin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan