AM

KERJASAMA KERAJAAN NEGERI, GBS TARIK PELANCONG CHINA KE MELAKA

18/04/2024 09:30 PM

MELAKA, 18 April (Bernama) --  Kerajaan Melaka menjalin kerjasama dengan anak syarikat kumpulan media berpengaruh di China, Golden Eagle Broadcasting System (GBS) iaitu Mango Media Sdn Bhd bagi mempromosi dan menarik kunjungan pelancong dari pelbagai wilayah negara itu ke Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata melalui kolaborasi yang diwakili anak syarikat kerajaan negeri PMH Travel & Event Sdn Bhd itu, kedua-dua  pihak bersetuju untuk membawa masuk 1 juta pelancong China dalam tempoh dua tahun. 

"Mango Media akan mempromosikan Melaka melalui dua strategi promosi iaitu menerusi penjualan langsung dalam talian iaitu platform seperti XHS dan TikTok melibatkan pempengaruh terkemuka mempromosi secara langsung kepada pengguna dalam talian di China.

"Selain itu, strategi penjualan luar talian menerusi penggunaan Hunan Broadcast yang meliputi banyak saluran televisyen (TV) dan akan mempromosikan negeri ini secara meluas melalui siaran TV tradisional," katanya kepada pemberita ketika di temui di Seri Negeri di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Pertukaran Perjanjian Kerjasama antara PMH Travel & Event Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Besarnya Siti Ainshah Osman manakala Mango Media diwakili Pengarah Eksekutifnya Datuk Ge Yamei.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata kerjasama itu ia dilihat dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri ini dan rakyat melalui sektor pelancongan ekoran kejayaan GBS yang telah berjaya mempromosikan beberapa lokasi terpencil di wilayah China sehingga lokasi itu menerima limpahan pengunjung dan peningkatan ekonomi komuniti setempat sehingga kini. 

"Saya percaya usaha yang konsisten dan efektif ini berpotensi memberikan manfaat ekonomi yang signifikan kepada ekonomi Melaka serta memperkukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini," katanya.

Beliau berkata perniagaan GBS merangkumi pelbagai sektor termasuk hiburan filem dan televisyen, pengiklanan, budaya dan pelancongan, e-dagang, pelaburan, permainan, animasi, pengurusan artis dan hiburan langsung. 

Katanya kumpulan itu juga memiliki lima platform media penstriman, empat saluran TV satelit, enam saluran TV, tiga saluran TV profesional digital berbayar, lapan frekuensi penyiaran dan juga platform-platform media lain.

"GBS telah berjaya mencipta nilai jenamanya melebihi 100 bilion yuan berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh World Brand Lab sekali gus menduduki tempat ke-90 sebagai pemegang kedudukan kedua dalam industri penyiaran dan televisyen Asia selepas China Media Group (CMG). 

"Berhubung bidang video berdurasi panjang, Hunan TV iaitu satu saluran TV satelit provinsi paling berpengaruh dengan penarafan dan nilai jenama tertinggi di China, merangkumi penonton global sebanyak 1.9 bilion manakala Mango TV  dengan capaian 66.53 juta pelanggan aktif," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan