AM

RM30 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN SEMULA SEKOLAH DAIF SK TAMU DARAT - FADHLINA

19/04/2024 08:30 PM

KOTA BELUD, 19 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM30 juta untuk  membangunkan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Tamu Darat di sini yang merupakan antara sekolah daif di negeri ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata projek pembangunan semula itu akan dimulakan pada Ogos tahun ini dan dijangka siap pada pertengahan 2026, dengan dilengkapi kemudahan antara lain lapan bilik darjah baharu, pusat sumber serta makmal sains dan komputer.

“Reka bentuk bangunan telah siap dan dalam proses untuk tender. Diharap usaha ini memberikan persekitaran kondusif untuk anak-anak kita di sini belajar dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di beberapa sekolah rendah dan menengah di kawasan Kadamaian di sini antaranya SK Tamu Darat, SK Rangalau, Sekolah Rendah Advent Rangalau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin.

Fadhlina berkata 38 buah sekolah daif di daerah Kota Belud di sini diberikan perhatian sepenuhnya untuk pembinaan semula atau untuk proses penyelenggaraan melibatkan peruntukan RM495.5 juta.

Menurutnya daripada jumlah itu 20 projek telah siap sepenuhnya, 10 dalam pembinaan, manakala lapan lagi dalam peringkat prabina.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan