EKONOMI

Rhb Ib Unjur Pertumbuhan Kdnk 4.2 Peratus Tahun Ke Tahun Bagi Suku Pertama 2024

19/04/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kecenderungan meningkat ke arah 4.2 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2024.

Data KDNK dijadual dikeluarkan pada 17 Mei, 2024.

Unjuran RHB Investment itu adalah lebih tinggi daripada jangkaan 3.9 peratus oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Petunjuk utama komposit kami, RHB-LEI (MY), menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal disokong oleh sektor berorientasikan eksport seperti elektrik dan elektronik (E&E), tenaga dan barangan logam,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Bank pelaburan itu mengekalkan unjuran KDNK 2024 Malaysia pada 4.6 peratus memandangkan jangkaan pertumbuhan suku pertama yang lebih perlahan berbanding jangkaan tidak mungkin menjejaskan unjuran ekonomi 2024 yang optimistik.

Ini memandangkan momentum eksport dan pengeluaran perindustrian telah mula meningkat, kenaikan yang berpotensi dalam data makroekonomi utama bagi Mac dan kesan bermusim data Februari susulan hari bekerja yang lebih singkat..

“Kami terus mendapati keyakinan domestik semakin bertambah baik dengan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) lebih positif, import barangan modal dan barangan perantaraan yang teguh serta peningkatan keyakinan perniagaan dan pengguna,” katanya.

Sementara itu, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd pula mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 3.9 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 3.0 peratus tahun ke tahun), pertumbuhan paling pesat dalam tempoh empat sukuan.

“Pertumbuhan secara relatifnya lebih baik daripada jangkaan walaupun berada di bawah 4.1 peratus tahun ke tahun seperti yang diunjurkan oleh konsensus pasaran,” tambahnya.

Berdasarkan momentum pertumbuhan yang bertambah baik dan jangkaan pemulihan permintaan luar, MIDF Amanah mengekalkan unjurannya iaitu KDNK Malaysia akan meningkat kepada 4.7 peratus tahun ini (2023: 3.7 peratus).

“Selain pertumbuhan mampan dari segi permintaan domestik, kami menjangka pertumbuhan KDNK lebih kukuh disokong oleh aktiviti pembuatan global yang semakin baik dan permintaan kian meningkat dari China dan Amerika Syarikat.

“Selain itu, pemulihan perdagangan E&E juga akan menyokong pemulihan perdagangan luar tahun ini,” tambahnya.

Namun begitu, cabang penyelidikan MIDF Amanah mengambil pendekatan berhati-hati mengenai perkembangan luar yang boleh mengekang pemulihan perdagangan luar.

“Ini termasuk risiko negatif seperti pertumbuhan lembap di China, peningkatan ketegangan geopolitik seterusnya di Timur Tengah dan risiko permintaan akhir yang lemah daripada pasaran maju disebabkan kos pinjaman yang tinggi,” menurutnya.

Dalam pada itu, CIMB Investment Bank Bhd menjangkakan pemulihan eksport E&E, ketibaan pelancong yang lebih tinggi, daya tahan permintaan domestik disokong pertumbuhan pelaburan yang lebih kukuh serta permulaan kesan asas yang rendah, meningkatkan lagi pertumbuhan Malaysia pada suku akan datang.

“Kami mengekalkan unjuran 2024 kami pada 4.9 peratus bagi pertumbuhan KDNK dan 3.00 peratus untuk kadar dasar semalaman,” jelasnya menerusi penyelidikan perbendaharaan dan pasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan