AM

ANWAR BERI PENGHORMATAN TERAKHIR KEPADA MENDIANG JOSEPH KURUP

21/04/2024 01:01 AM

KOTA KINABALU, 20 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Joseph Kurup di Wisma Fook Lu Siew di sini.

Perdana Menteri yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor tiba di pusat peringatan itu pada 2.22 petang dan disambut anak mendiang Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup sebelum bertemu ahli keluarga termasuk balu mendiang Puan Sri Melinda Mak Soak Fong.

Anwar kemudian beramah mesra dengan para hadirin di pusat itu sebelum beredar untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini.

Joseph, 79, yang merupakan pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada Rabu lepas (17 April) dan jasad mendiang yang diterbangkan dengan pesawat komersial tiba di sini, pada 11.20 Khamis malam.

Mendiang adalah bekas Ahli Parlimen Pensiangan pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional).

Joseph bersara daripada politik tahun lepas selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu pada 1994 dan anaknya Arthur yang juga Timbalan Presiden menggantikan ayahnya sebagai Presiden pada Januari tahun lepas.

Pada Rabu lepas, Anwar dalam hantaran laman Facebooknya mengucapkan takziah kepada Arthur serta keluarga atas pemergian Joseph.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan