AM

Agong, Raja Permaisuri Berangkat Saksikan Perlumbaan Gt World Challenge Asia

21/04/2024 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke perlumbaan kedua GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua adalah bagi menyaksikan penyertaan paduka anakanda Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, yang mewakili pasukan JMR Triple Eight.

Perkara itu dikongsikan dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berserta beberapa keping gambar, petang ini.

Bersama rakan sepasukan Jordan Love, Tunku Abu Bakar berjaya merangkul tempat ketiga dalam kategori Pro-Am dan keempat dalam keseluruhan perlumbaan hari ini yang disertai 33 jentera pelbagai jenama.

Turut berangkat Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman serta Tunku Tun Aminah dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang Md Azhan Shafriman Md Hanif.

Pusingan GT World Challenge Asia yang seterusnya akan menyaksikan dua perlumbaan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 10 hingga 12 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan