AM

Pemberian Khas : Sabah Buat Tuntutan Secara Berfasa Jika Rundingan Tidak Muktamad

22/04/2024 01:55 PM

KOTA KINABALU, 22 April (Bernama) -- Sabah akan mengambil pendekatan tuntutan secara berfasa pemberian khas kerajaan Persekutuan, sekiranya proses rundingan tidak dapat dimuktamadkan sehingga tempoh ditetapkan, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata tempoh masa rundingan ialah selama satu tahun sehingga 18 Julai tahun ini, dan pada masa ini formula bagi pemberian khas itu masih dalam proses rundingan.

“Sabah telah lapan kali meminta data daripada kerajaan Persekutuan bagi menentukan jumlah yang wajar dituntut, namun tidak ada jawapan munasabah diberikan. Sekiranya selepas Julai ini tidak ada persetujuan dicapai, maka terserah pada kita mengambil pilihan untuk melantik pentaksir bebas.

“Selain itu, kita juga telah nyatakan selepas Julai kita juga akan buat tuntutan secara berfasa tanpa data-data yang lengkap dari kerajaan Persekutuan. Kita akan buat andaian dan kiraan sendiri berapa jumlah, berdasarkan data yang diumumkan oleh agensi kerajaan Persekutuan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Lamag)  yang bertanya mengenai proses rundingan mengenai pembayaran pemberian khas berkenaan.

Bung Moktar dalam soalan lisannya sebelum ini bertanya, adakah kerajaan Sabah berhasrat untuk mencadangkan pentafsir bebas dalam proses rundingan tersebut, untuk menentukan jumlah yang wajar bagi pemberian khas itu.

Pembantu Menteri Kewangan negeri Tan Lee Fat ketika menjawab soalan itu berkata kerajaan Sabah tetap berpegang mengekalkan formula asal pemberian khas, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dua per lima atau 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan di Sabah.

Beliau berkata semenjak rundingan ke atas amaun pemberian itu dimulakan, kerajaan Persekutuan membayar RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta pada tahun lepas, yang mana kerajaan negeri menerima bayaran tersebut sebagai penyelesaian interim.

“Suka saya ingatkan bahawa perkara mengenai kemberian khas ini masih dalam proses rundingan, saya yakin dan percaya rundingan kerajaan Persekutuan dan negeri akan membuahkan hasil yang kita nantikan sekian lama, untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan