AM

PERPADUAN BUKAN PILIHAN, WAJIB JADI JATI DIRI MASYARAKAT

21/07/2024 02:18 PM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Aspek perpaduan dalam Malaysia tidak boleh dijadikan pilihan semata-mata, malah wajib dijadikan jati diri dalam setiap masyarakat, kata Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia Datuk Ismail Yusof.

Beliau berkata Malaysia terbina daripada kepelbagaian agama dan budaya yang tidak boleh diperolehi di negara lain dengan model negara bangsa yang bersifat inklusif.

“Pembinaan negara bangsa merupakan satu proses, dari awal Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Pertama) ke arah mencapai kemerdekaan sehingga semua perkara yang dilakukan oleh setiap perdana menteri sehingga kini.

“Kita kena terima hakikat bahawa negara ini terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama dan ia merupakan suatu anugerah Tuhan sebenarnya yang perlu diurus dengan cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel bicarawara bertajuk Komuniti MADANI Pemangkin Malaysia Progresif dengan topik ‘Kenegaraan dan Patriotik’ yang diadakan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini hari ini.

Ismail berkata satu-satunya bingkai yang menguatkan perpaduan adalah Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras pembinaan negara bangsa.

“Sebab itu ia menggariskan soal kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagainya. Secara kesimpulan, hak setiap rakyat di bumi bertuah ini dapat dikendalikan dengan adil menerusi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sesi bicarawara itu turut menampilkan Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Dr Abdul Hazif Abdul Hamid yang berkongsi maklumat mengenai inisiatif Program Sejahtera Komuniti MADANI (SeJati MADANI).

SeJATI MADANI merupakan inisiatif baharu kerajaan bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Bicarawara kemudiannya diteruskan dengan slot Komuniti MADANI Penggerak Komunikasi Berwibawa yang membicarakan topik jenayah scam (penipuan) dan kecerdasan buatan (AI).

Ia disertai oleh Duta Anti Scam Polis Diraja Malaysia Rahmat Fitri Abdullah yang menyentuh mengenai aspek scam dalam media sosial, pada masa sama mengingatkan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan penipuan dalam talian.

Sementara itu Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Airull Azizi Awang Lah turut berkongsi maklumat mengenai portal MY-AI di bawah MOSTI, berfungsi sebagai langkah strategik dalam menyediakan sumber High-Performance Computing (HPC) yang merangkumi pautan kepada sumber pengetahuan, program latihan, alatan bantu (tools), dan saluran maklum balas untuk AI.

Tujuan utama inisiatif itu adalah untuk memacu perkembangan dan penggunaan AI demi manfaat ekonomi dan sosial Malaysia.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat itu bermula 9 pagi hingga 4.30 petang, dengan pelbagai program disediakan bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan majlis itu pada pukul 3 petang.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan