DUNIA

KERJASAMA DENGAN CHINA SINGKAP LEMBARAN BAHARU – PM SRI LANKA

22/04/2024 03:29 PM

BEIJING, 22 April (Bernama-CMG) -- Hubungan antara Sri Lanka dengan China sudah terjalin sejak sekian lama sementara pemimpin kedua-dua negara mengekalkan pertukaran yang bersahabat, kata Perdana Menteri Sri Lanka Dinesh Gunawardena.

"China memandang Sri Lanka sebagai rakan kongsi ke arah kemajuan dan pembangunan pada masa depan.

"Kedua-dua negara menggerakkan kerjasama dalam bidang baharu, termasuk pembangunan pelabuhan Hambantota di lokasi paling selatan Sri Lanka," kata Gunawardena dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).

Perdana Menteri berkata pelabuhan Hambantota berada di lokasi yang strategik kerana tiada negara dan pulau lain antara benua itu dengan kawasan Kutub Selatan. Sri Lanka juga berhasrat untuk membangunkan pelabuhan berkenaan.

Menyentuh mengenai pembangunan Bandar Pelabuhan Colombo (PCC) yang menjadi projek ikonik kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Gunawardena memberitahu bahawa pembinaan pusat kewangan antarabangsa telah pun dimulakan baru-baru ini sekali gus menyuntik momentum kepada pembangunan PCC.

"Pusat kewangan antarabangsa itu akan menyediakan lebih banyak alat kewangan untuk kami.

"Dengan itu, Sri Lanka mampu menangani pelbagai cabaran baharu dan menarik lebih banyak pelaburan," kata beliau.

Gunawardena berkata dengan menghubungkan Singapura dan kawasan Teluk, Pelabuhan Colombo merupakan antara pelabuhan yang paling berdaya saing di rantau Asia Selatan.

-- BERNAMA-CMG


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan