JENAYAH & MAHKAMAH

Peniaga, Penghantar Makanan ditahan Lakukan Ugut, Pemerasan

22/04/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Seorang peniaga dan seorang penghantar makanan ditahan Sabtu lepas kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki dan mengugut beliau berhubung kereta sewa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kedua-dua suspek lelaki berumur 29 dan 30 tahun itu ditahan di Taman Dato Ahmad Razali dekat sini, kira-kira 2.15 petang dan polis turut merampas dua telefon bimbit dan tujuh dokumen bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati pengadu telah menyewakan kereta Toyota Alphard kepada seorang daripada suspek dan mahu mengambil semula keretanya namun suspek meminta bayaran kepada pengadu untuk kereta itu dikembalikan.

“Semakan juga mendapati seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata suspek juga telah mengugut lelaki berkenaan yang bekerja sebagai ejen insurans dengan menghantar gambar api, parang, pistol serta menakut-nakutkan untuk merosakkan kenderaannya.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama empat hari bemula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan