POLITIK

PDP BUKA PINTU KEPADA PARTI LAIN UNTUK BERGABUNG - TIONG

22/04/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Parti Demokratik Progresif (PDP) sentiasa membuka pintu kepada parti lain untuk bergabung dengan PDP, susulan penggabungan dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) baru-baru ini.

Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing berkata keterbukaan PDP untuk menerima sebarang parti menyertai PDP adalah untuk kesejahteraan negara khususnya Sarawak.

"Bagi PDP, pintu kami sentiasa terbuka, kita mengalu-alukan semua. Paling penting, akhirnya kita harus menjadi satu pasukan untuk berusaha menjaga negara terutama negeri ini (Sarawak)," kata Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di sini hari ini.

Pada 7 April lepas, Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng menzahirkan harapan agar PDP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan bergabung satu hari ini memandangkan kedua-dua parti mempunyai hubungan sejarah dan ia akan mengukuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan perjuangan Dayak.

Tiong berkata sesiapa boleh memberi cadangan, namun ia terpulang kepada parti terbabit untuk membuat keputusan berkenaan cadangan dibuat Larry.

Pada 6 April, Tiong mengumumkan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh dan dua pemimpin kanan parti itu yang baru dibubarkan, dilantik memegang jawatan tinggi dalam PDP.

Tiong berkata pelantikan Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan serta Timbalannya Dr Johnical Rayong Ngipa dan Setiausaha Agung PSB Baru Bian sebagai Naib Presiden PDP, dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan