AM

MALAYSIA PROMOSI SASTERA ASEAN BAGI PERTUKARAN BUDAYA SELAKU PENGERUSI

23/04/2024 07:08 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, April 23 (Bernama) -- Malaysia amat menggalakkan usaha mempromosikan karya-karya hebat negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) semasa menjadi pengerusi blok itu tahun depan bagi pertukaran antara budaya, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Beliau berkata bibliofil ASEAN perlu berganding bahu untuk menggalakkan pertukaran antara budaya di rantau ini.

"Terdapat karya sastera Indonesia yang terkenal oleh Pramoedya Ananta Toer, Hamka, WS Rendra dan juga Jose Rizal di Filipina," katanya kepada media selepas melancarkan 'Program Jom Baca Bersama 10 Minit @Bernama' di Wisma Bernama di sini hari ini. 

Turut menyertai program itu Duta Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai. 

Fahmi berkata usaha sedemikian memerlukan penyelarasan dan kerjasama antara kementerian.

Beliau berkata Malaysia juga akan berusaha melindungi data dan memerangi bahaya dalam talian semasa menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

"Masih banyak yang perlu dilakukan untuk merapatkan ASEAN, mengadakan dialog yang lebih besar dan lebih banyak perbincangan dalam kalangan negara-negara ASEAN, katanya. 

"Buat masa ini, ramai rakan sejawat saya di ASEAN menyatakan kebimbangan mengenai penipuan (dalam talian) di ASEAN dan platform media sosial itu tidak melakukan secukupnya untuk melindungi rakyat ASEAN daripada penipuan," kata Fahmi.

Sementara itu, Dr Bergstrom berkata Sweden akan memupuk dialog mengenai kelestarian, kesihatan dan hak asasi manusia dengan rantau ini semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

"Kami (Sweden) akan meneruskan semua perbincangan yang kami ada dengan Malaysia (di peringkat ASEAN) tahun depan," katanya. 

Bergstrom berkata Sweden akan menghubungi perpustakaan dan menjangkau khalayak baharu untuk bekerjasama bagi meningkatkan perbincangan dan idea.

"Isu kesihatan dan sosial serta isu berkaitan kanak-kanak merupakan bidang yang baik untuk melibatkan diri dan memupuk dialog," katanya.

Menurut Bergstrom, Malaysia dan Sweden menikmati hubungan dua hala yang baik dan pada masa ini terdapat 100 syarikat Sweden yang beroperasi di Malaysia.

Beliau juga berkata peralihan hijau, mesra alam, kesihatan planet dan memerangi perubahan iklim mendominasi agenda hubungan Malaysia-Sweden.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan