SUKAN

PENGGUNAAN VAR PERLU MASA UNTUK SEMPURNA - KULJANAC

23/04/2024 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Perlawanan pramusim Liga Malaysia (Liga-M) 2024/2025 antara Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Negeri Sembilan FC semalam menyaksikan sistem teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) diuji menjelang kempen baharu yang akan bermula bulan depan.

Sistem tersebut dikendalikan beberapa pegawai tempatan yang membantu pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin sepanjang perlawanan.

Pada aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad The City Boys yang mencatat kemenangan 2-1 menerima manfaat VAR menerusi gol kedua apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Paulo Josue minit ke-37.

Bagaimanapun semakan VAR seterusnya tidak memihak KL City apabila pemain baharunya Brendan Gan dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.

Melihat keberkesanan VAR pada perlawanan itu, Ketua Jurulatih KL City Miroslav Kuljanac berkata penggunaan VAR amat penting, namun memerlukan masa dari segi pengendalian untuk benar-benar sempurna seperti yang dilihat dalam negara-negara terawal menggunakan sistem itu.

“Di Croatia, saya sudah terlibat dengan VAR dan kelewatan untuk mengetahui keputusan itu normal. Sistem VAR ini hanya memerlukan masa lagi,” katanya dalam kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Sementara itu meskipun tewas, kapten Negeri Sembilan FC Nasrullah Hanif teruja dengan sistem VAR dan penggunaannya pada musim baharu selain menganggap ia akan dapat meningkatkan kualiti permainan.

“Saya harap mutu pengadilan untuk musim ini juga akan bertambah baik dengan bantuan VAR,” katanya.

MFL akan terus menggunakan beberapa perlawanan pramusim Liga-M hingga 4 Mei depan untuk menguji sistem VAR.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan