AM

Tragedi Helikopter: Pesawat Bawa Mendiang Joanna Tiba Di Kuching

25/04/2024 12:40 AM

KUCHING, 24 April (Bernama) -- Pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jasad mendiang Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna, 26, yang terlibat dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba di Pangkalan Udara TUDM di sini pada 11.54 malam ini. 

Sebaik ketibaan pesawat itu, jasad mendiang disambut 27 pegawai dengan 80 lain-lain anggota daripada Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) sebelum dibawa ke kampung suaminya di Kampung Engkaroh Tebakang, Serian kira-kira 90 kilometer dari bandar Kuching untuk diberi penghormatan terakhir.

Jasad ibu kepada dua anak itu seterusnya akan disemadikan mengikut istiadat TLDM yang berlangsung 9 pagi esok di tanah perkuburan Kristian berdekatan kampung berkenaan. 

Terdahulu, pesawat yang membawa jasad mendiang berlepas pada 9.16 malam tadi dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Subang, Selangor setelah beberapa kali ditunda berikutan keadaan cuaca buruk.

Joanna, yang berasal dari Kampung Sumpas Tampek, Serian antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 9.32 pagi semalam semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan