AM

FAHMI KONGSI MOMEN 'GOL & GINCU' BERTEMU 'LITAR & LUMBA'

25/04/2024 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil secara santai berkongsi momen pertemuannya dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Rumah Terbuka Kementerian Komunikasi dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya hari ini.

Fahmi menggunakan gelaran diberikan Muhammad Sanusi kepadanya iaitu 'Gol & Gincu' sebagai ganti namanya, manakala beliau menggunakan panggilan 'Litar & Lumba' untuk merujuk kepada Menteri Besar itu dengan diikuti emoji ketawa. 

Muhammad Sanusi pada hantaran di akaun Facebook beliau semalam menggelar Fahmi sebagai 'Menteri Gol & Gincu' mengambil kira penglibatan menteri itu sebagai pelakon tambahan dalam drama popular berkenaan. 

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi berkata mereka tidak bergaduh pada pertemuan itu, sebaliknya hanya berbincang mengenai masalah Internet di Kedah yang akan diselesaikan melalui kerjasama kerajaan negeri. 

“Politik politik juga. Masalah rakyat mesti kena diselesaikan tanpa kira perbezaan pendapat,” katanya dalam hantaran itu yang turut disertakan dengan dua keping gambar mereka di rumah terbuka itu. 

Pada pertemuan itu, Fahmi turut menyentuh mengenai isu Internet yang cuba diatasi di Kuala Kubu Baharu, kawasan yang akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei ini. 

“DS (Datuk Seri) Sanusi kata nak guna ini  (isu Internet) dalam kempen. Saya jawab ok je (sahaja), tapi jangan sampai undang murka Tuanku Sultan,” kata Fahmi. 

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Mei manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada Sabtu ini dan 7 Mei.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan