EKONOMI

AIRASIA X TIMBANG TAWAR PENERBANGAN KE EROPAH TIMUR, LONDON DAN ORLANDO

25/04/2024 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah destinasi jarak jauh ke laluan sedia ada dalam jangka masa panjang, AirAsia X menimbang kemungkinan untuk menawarkan penerbangan ke negara di Eropah Timur seperti Poland dan Hungary dan menyambung semula laluan ke London serta menggunakan hak pendaratannya di Orlando di Amerika Syarikat.

AirAsia X juga sedang menimbang menawarkan penerbangan ke Pakistan dan Sri Lanka, kata ketua pegawai eksekutif Capital A dan penasihat dan pengelola AirAsia Aviation Group Tan Sri Tony Fernandes kepada pemberita selepas majlis pelancaran pas pelancongan tahunan, ASEAN Explorer Pass, hari ini.

“Tetapi kami sudah pastinya mahu melangkaui Asia, ke Kazakhstan, walaupun ia dianggap Asia,” katanya ketika ditanya mengenai perancangannya berikutan pembelian pesawat Airbus oleh kumpulan itu.

AirAsia X kali terakhir menawarkan penerbangan ke London ialah pada 2012.

Selaras dengan usaha untuk mempromosikan perjalanan dalam ASEAN, Fernandes berkata ketika rantau ini semakin menjadi tumpuan sebagai hab utama perdagangan dan pelaburan antarabangsa, kemudahan ketersambungan dan akses antara ASEAN kepada keperluan perjalanan utama seperti penerbangan, hotel dan perjalanan.menjadi amat penting.

“Data daripada pas perjalanan sebelum ini yang dijual oleh AirAsia MOVE pada Disember 2022 jelas menunjukkan bahawa permintaan untuk perjalanan dalam rantau ASEAN adalah tinggi, dengan lebih 80,000 penerbangan antarabangsa ditebus dan diterbangkan dalam setahun,” katanya.

Fernandes berkata ASEAN Explorer Pass membolehkan pengembaraan tanpa had untuk meneroka destinasi di ASEAN, terutamanya permata tersembunyi di seluruh pelusuk rantau ini melangkaui destinasi popular dan bandar-bandar utama.

“Pas itu tersedia untuk pengembara global, dengan matlamat kami adalah untuk mempromosikan ASEAN dan mahu menjadi platform ejen pelancongan dalam talian (OTA) paling popular di ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kementerian itu komited untuk menjadikan ASEAN sebagai destinasi pelancongan utama di Asia.

Justeru, beliau berkata, Malaysia menyasar untuk menarik lebih 30 juta pengunjung tahun ini, dan dalam proses itu, menjana RM100 bilion perolehan pelancongan 

“Banyak inisiatif sedang diusahakan untuk menilai daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya.

ASEAN Explorer Pass kini ditawarkan pada harga promosi awal pada RM999 atau RM89.91 untuk ansuran bulanan.

Pas itu boleh dibeli melalui aplikasi AirAsia MOVE mulai hari ini sehingga 30 April dan selepas itu akan kembali kepada harga asalnya iaitu RM1,188.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan