JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN P.PINANG RAMPAS 8,000 LITER DIESEL BERSUBSIDI

26/04/2024 12:13 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 8,000 liter minyak diesel bersubsidi disyaki diseleweng dalam Ops Tiris 3.0 di sebuah stesyen minyak di sini semalam.

Pengarahnya S.Jegan berkata susulan maklumat orang awam, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di sini dan menjumpai sebuah lori kanvas berwarna biru.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bahagian belakang lori enam tan itu telah diubah suai dengan terdapat satu unit tangki besi berkapasiti 10,000 liter dan satu set motor pam berserta hos paip yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

"Terdapat sebanyak 8,000 liter diesel bernilai RM17,200 dalam tangki besi itu dan kami merampas kesemuanya termasuk lori dan peralatan digunakan yang kesemuanya berjumlah RM55,200 untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan tiada pemandu lori atau sesiapa berhampiran kenderaan itu dan pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam kegiatan serta rantaian penyelewengan diesel tersebut, termasuklah sumber diperolehi dan edaran.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan