EKONOMI

MITI GALAK SYARIKAT TEMPATAN JALIN KERJASAMA PELABURAN DENGAN ARAB SAUDI

07/05/2024 12:33 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggalakkan syarikat tempatan untuk menjalinkan kerjasama pelaburan dengan syarikat dari Arab Saudi terutama dalam sektor perkhidmatan.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Arab Saudi mempelawa syarikat Malaysia untuk melabur di negara itu bagi membolehkan peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Beliau berkata Arab Saudi mempunyai perancangan Visi 2030 yang memerlukan pelaburan dari negara seperti Malaysia terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Kita mempunyai kepakaran dalam beberapa bidang seperti elektrik dan elektronik, pelancongan, logistik dan pengurusan fasiliti.

“Ini memberikan peluang kepada syarikat Malaysia untuk memperluas perniagaan mereka ke negara itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam meraikan delegasi Arab Saudi ke Malaysia di sini, pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata justeru, Majlis Perniagaan Malaysia-Saudi telah ditubuhkan bertujuan memastikan proses perniagaan kepada perniagaan antara dua negara menjadi lebih aktif.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Alkassabi berkata pihaknya menggalakkan perniagaan persendirian Malaysia untuk meneroka potensi peluang di negara itu.

“Lawatan ini merupakan lawatan yang penting. Usaha ini sebagai lawatan pembuka mata. Lawatan ini adalah misi mencari fakta dengan menentukan aspek yang kita perlu bangunkan, mendengar semua peluang dan mengetahui perkara yang tersedia.

“Jadi kami sedang menyediakan perancangan komprehensif…satu pelan kerjasama berdasarkan titah Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman supaya menyediakan rancangan bersama dan meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan