AM

SULTAN SELANGOR BERANGKAT KE MAJLIS BACAAN YASSIN, TAHLIL DI PANGKALAN TLDM

26/04/2024 02:54 PM

LUMUT, 26 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenan berangkat ke Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini bagi menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena sambutan Hari TLDM ke-90. 

Ketibaan baginda pada 12.13 tengah hari disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob. 

Turut hadir Laksamana Pertama (Kehormat) TLDM  Datuk Muhammad Abdullah dan barisan kepimpinan tertinggi TLDM.

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas yang diadakan di Masjid An-Nur TLDM itu juga sempena memperingati mangsa tragedi nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec TLDM terhempas pada Selasa lepas yang mengorbankan 10 anggota dan pegawai TLDM.

Bacaan yasin dan tahlil yang diketuai Pengarah Agama Markas Tentera Laut Leftenan Kolonel Ahmad Kamil Abdullah, disertai kira-kira 3,000 warga TLDM. 

Sultan Sharafuddin kemudian turut berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut. 

Sementara itu, Abdul Rahman dalam khutbah khasnya berkata tragedi pada 23 April lepas telah memberi kesan sangat mendalam dan merupakan satu kehilangan besar buat TLDM khasnya dan negara amnya.

"Sedarlah bahawa kamu (mangsa terkorban) telah menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi dan tanah air tercinta ini. Pengorbanan yang telah kamu berikan pastinya tidak dapat kami balas dengan air mata."

"Hanya doa yang mampu kami titipkan agar rohmu sentiasa dirahmati Allah SWT," katanya diiringi bacaan surah al-Fatihah. 

Dalam khutbah sama, Abdul Rahman berkata tema sambutan tahun ini “TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara” begitu signifikan dengan meletakkan pasukan itu sebagai ketumbukan yang menggalas tanggungjawab penting mengawal setiap inci perairan negara bagi menghindari sebarang bentuk pencerobohan atau konflik musuh. 

"Angka 90 tahun merupakan usia yang matang dan penuh pengalaman, 90 tahun juga bukan sahaja mempamer kesungguhan dan komitmen perjuangan warga TLDM dalam melindungi perairan serta menjaga kehormatan kedaulatan negara, bahkan turut memikul amanah serta menjaga kesucian agama secara konsisten," katanya. 

Menurutnya aspek kompetensi pegawai dan anggota TLDM turut menjadi keutamaan dan perlu diberi penekanan, selain kesiagaan yang tinggi tanpa bergantung kepada aspek material semata-mata. 

“Tidak kurang pentingnya aspek ketersediaan modal insan yang kompeten dan profesional," katanya. 

Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM ke-90 yang dijadual esok, dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat susulan tragedi helikopter terhempas tersebut. 

Mohamed Khaled sebelum ini berkata pembatalan sambutan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Sharafuddin. 

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan