SUKAN

NURUL IZZAH DAPAT BASIKAL BAHARU KE PARIS 2024

26/04/2024 04:25 PM

NILAI, 26 April (Bernama) -- Atlet berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mendapat suntikan semangat apabila dikhabarkan bakal menerima basikal baharu untuk penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Khabar gembira itu disahkan oleh ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan John Beasley yang berkata pelumba muda meningkat naik itu akan menggunakan jentera baharu dalam masa terdekat.

“Izzah akan menggunakan jentera baharu (model) W-XR beberapa minggu lagi. Kita cadang untuk adakan pelancaran dan pengenalan atlet bersama basikal,” katanya pada sidang media Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Menurut Beasley, basikal baharu itu adalah berteknologi tinggi sama seperti yang akan digunakan oleh Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata basikal baharu yang akan diterimanya tidak lama lagi itu, akan menjadi tonik tambahan untuk beliau mencipta prestasi terbaik di Paris kelak.

"Saya tak jangka akan dapat basikal sama seperti mereka. Basikal baharu ini boleh menaikkan semangat saya kerana basikal itu pernah dinaiki oleh Datuk Azizulhasni sendiri sebelum ini,” katanya.

Pemenang dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi India pada Februari lepas itu berkata terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki bagi mempersiapkan dirinya di temasya Olimpik akan datang.

Beliau berkata ia termasuk membina keyakinan selain memperbaiki kayuhan terutamanya dalam acara keirin. 

"Apa yang perlu saya buat dalam latihan adalah untuk memperbaiki dari segi kedudukan dan keberanian untuk kayuh dalam keirin. Saya juga perlu lebih yakin dan perbaiki kelajuan di Olimpik nanti," katanya.

Lima atlet muda lain turut menyertai Nurul Izzah ke Sukan Olimpik Paris adalah Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan