AM

IMIGRESEN PERAK GEMPUR 9 PREMIS, TAHAN 38 PENDATANG TANPA IZIN

26/04/2024 10:31 PM

IPOH, 26 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 38 warga asing dalam serbuan ke atas sembilan premis perniagaan di sekitar daerah Kinta dan Batang Padang semalam.

Pengarahnya Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kesemua mereka berusia antara 20 sehingga 55 tahun ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata operasi bermula jam 9 pagi  semalam sehingga 2 pagi ini melibatkan lima premis makanan, sebuah hotel bajet, dua buah kedai serbaneka serta sebuah premis perindustrian.

Katanya serbuan dibuat berdasarkan hasil pemantauan dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasa JIM Perak di kesemua lokasi berkenaan.

"Kesemua mereka terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh, enam lelaki dan empat wanita warga  Indonesia, 10 lelaki dan dua wanita warga Myanmar, empat lelaki dan seorang wanita warga China dan tiga lelaki warga  India," katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam operasi itu, seramai 20 pegawai Imigresen telah memeriksa 80 warga asing dan 35 orang tempatan, katanya.

Beliau berkata warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang dikeluarkan.

Katanya, mereka turut disiasat mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Menurutnya kesemua warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen Ipoh di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan