BERITA TERGEMPAR   Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 AM

KEMPEN PRK KKB LANCAR SETAKAT INI - POLIS SELANGOR

29/04/2024 05:46 PM

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang memasuki hari ketiga hari ini berjalan lancar dan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata polis bagaimanapun akan terus memantau aktiviti kempen calon yang bertanding bagi memastikan keadaan tersebut kekal hingga akhir PRK.

"Setakat ini kempen berjalan lancar dan baik...tidak ada kekecohan. Pihak yang bertanding juga memohon permit dengan betul sebelum mengadakan ceramah kempen.

"Kita harap keadaan ini kekal dan mereka yang bertanding terus berkempen secara berhemah, profesional dan tidak mendatangkan kesusahan kepada orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita di Mes Pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Sasikala Devi pada Rabu lepas berkata sebanyak 642 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran PRK berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan calon dan jentera parti politik bertanding supaya berkempen secara berhemah serta tidak menyentuh perkara yang boleh menganggu ketenteraman awam termasuk isu 3R iaitu bangsa, agama dan institusi raja.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao sebagai calon Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58,  pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian, manakala 7 Mei hari pengundian awal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan