BERITA TERGEMPAR   Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 EKONOMI

IMF TINGKAT PROSPEK PERTUMBUHAN RANTAU ASIA DAN PASIFIK 2024 KEPADA 4.5 PERATUS

30/04/2024 03:12 PM

SINGAPURA, 30 April (Bernama) -- Institusi kewangan global, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meningkatkan prospek pertumbuhan rantau Asia dan Pasifik kepada 4.5 peratus tahun ini, naik 0.3 peratus mata daripada unjuran pada Oktober, sebahagiannya disebabkan prestasi 2023 yang lebih baik dan dasar yang menyokong pertumbuhan.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata rantau berkenaan kekal dinamik dan akan menyumbang kira-kira 60 peratus kepada pertumbuhan global tahun ini. 

Institusi itu juga mengunjurkan pertumbuhan rantau itu menjadi sederhana pada 2025, sebanyak 4.3 peratus, tidak berubah daripada ramalan pada Oktober, dengan kelembapan struktur di China menjadi faktor utama, katanya.

IMF turut menambah baik prospek pertumbuhan Malaysia kepada 4.4 peratus, meningkat 0.1 peratus berbanding unjuran sebelumnya. 

Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik IMF Krishna Srinivasan berkata pemacu pertumbuhan rantau ini adalah pelbagai, termasuk penggunaan domestik yang berdaya tahan di kebanyakan negara ASEAN, pelaburan awam yang kukuh di China dan India serta peningkatan mendadak dalam pelancongan di negara-negara Kepulauan Pasifik.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar hibrid selepas penerbitan laporan “Tinjauan Ekonomi Serantau, Asia dan Pasifik: Pertumbuhan Mantap Di Tengah-tengah Prospek Yang Berbeza”, di sini hari ini.

Institusi kewangan global itu mengunjurkan kadar inflasi akan sejajar dengan sasaran bank pusat menjelang akhir tahun 2024 di kebanyakan rantau ini, dan jurang keluaran juga dijangka mengecil, bergantung pada dasar makroekonomi.

"Penurunan kadar inflasi berlaku di rantau ini pada tahap yang berbeza. Di sesetengah negara, ia kekal di atas sasaran, seperti Australia dan New Zealand. Negara lain pula, ia berada pada atau lebih dekat dengan sasaran bank pusat, contohnya, dalam pasaran pesat membangun dan Jepun, manakala dalam sesetengahnya, terdapat risiko deflasi seperti Thailand dan China,” kata Srinivasan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan