BERITA TERGEMPAR   Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 AM

BPT SPRM BERPERANAN KESAN KELOMPONGAN, KETIRISAN DALAM ORGANISASI

02/05/2024 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berperanan menjalankan siasatan bagi mengesan kelompongan dalam tatacara kerja, mengurangkan ketirisan selain mendapatkan kembali kerugian yang dialami sesebuah organisasi.

Pengarah BPT SPRM Datuk Izani Wan Ishak berkata melalui peranan itu BPT dapat meningkatkan keberkesanan sistem pentadbiran sesebuah organisasi, sekali gus menambah keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata BPT yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP), juga berperanan mengatasi kelemahan dalam amalan dan sistem sesebuah organisasi bagi menutup ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah, di samping meningkatkan amalan tadbir urus baik.

“Penjenamaan semula BPMP ini adalah kerana cara bekerja BPMP dahulu perlu ditambah baik dan dikuatkuasakan. Fungsi-fungsi BPMP termasuk meneliti amalan, sistem, tatacara sesebuah organisasi selepas siasatan dijalankan berkaitan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa atau atas permintaan organisasi terbabit.

“Namun pendekatan yang dilaksanakan (BPMP) itu tidak mendapat impak yang besar kerana pemeriksaan dan rundingan yang dilaksanakan akan berakhir dengan memberi khidmat nasihat kepada organisasi terbabit. Pendekatan ini kadang-kadang tidak diambil serius dan tindakan yang tegas tidak dilaksanakan, sekali gus tidak memberikan impak yang dikehendaki,” katanya dalam sesi wawancara khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya baru-baru ini.

Namun Izani berkata menerusi kaedah penyiasatan tatakelola oleh BPT, Kertas Penyiasatan Tatakelola (KPT) akan dibuka bagi mengenal pasti di mana ruang dan peluang rasuah itu berlaku.

“Seterusnya BPT akan mengusulkan cadangan bagi penambahbaikan, dan agensi terbabit perlu melaksanakan perubahan yang dicadangkan untuk menutup kelompongan dalam sistem tadbir urus agar risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu Izani berkata bagi melaksanakan pemeriksaan tatakelola secara siasatan, beliau mengakui BPT perlukan kuasa penuh, namun bagi tujuan itu pindaan akta perlu dilaksanakan dan proses itu mungkin mengambil masa yang lama.

“Justeru, sebagai permulaan BPT telah menghantar satu kertas cadangan kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan tiga kuasa siasatan menerusi Arahan Menteri di bawah Seksyen 71 (2) Akta SPRM 2009 dan Menteri boleh membuat peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah bagi pelaksanaan peruntukan akta ini dengan lebih lanjut.

“Tiga kuasa siasatan yang diperlukan adalah mengemukakan dokumen berkaitan penyiasatan tatakelola; kehadiran saksi yang kompeten berkaitan penyiasatan tatakelola; dan khidmat nasihat dilaksanakan oleh pegawai yang ada kuasa,” katanya.

Beliau berkata penyiasatan tatakelola biasanya dimulakan hasil maklumat awal daripada Unit Integriti berkaitan kesalahan tadbir urus yang berlaku, seterusnya BPT akan menganalisis secara forensik data-data sebenar, melibatkan prosedur-prosedur agensi berkaitan.

Mengenai kejayaan BPT setakat ini, Izani berkata pihaknya berjaya mengesan kelemahan prosedur meminda dan mengubah butiran kenderaan bahan bakar diesel kepada diesel hijau di dalam sistem mySIKAP yang dipercayai berlaku antara tahun 2017 hingga 2021 menerusi ‘Op Green’.

“Sebanyak 2,096 transaksi yang tidak sah telah diluluskan dan ketirisan dianggarkan RM12,726,665.50 dan hasil daripada penyiasatan tatakelola oleh BPT, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mampu mendapatkan recovery loss yang terlibat sepertimana yang termaktub dalam Akta JPJ,” katanya.

Sementara itu Izani berkata tatakelola yang terbaik di semua peringkat bermula daripada perancangan dan kajian keberkesanan awal sebelum sesuatu projek dilaksanakan, kerana tanpa perancangan serta kajian menyeluruh, maka akan wujudlah projek ‘Gajah Putih’.

“Projek Gajah Putih ini hanya sebagai kaedah untuk mengeluarkan wang dari dana yang disediakan walaupun kegunaannya diragui. Sebagai contoh, pemberian tangki air di kampung orang Asli di Gua Musang, Kelantan yang digunakan hanya untuk menadah air hujan disebabkan di kawasan itu tiada punca air terawat,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan