BERITA TERGEMPAR   Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 EKONOMI

SMART ASIA CHEMICAL SASAR KUMPUL RM37.4 JUTA MELALUI IPO

02/05/2024 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Smart Asia Chemical Bhd, yang sedang menuju ke arah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 28 Mei, 2024, menyasarkan untuk mengumpul RM37.4 juta melalui pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Ketua Pegawai Operasi Lim Kok Beng berkata hasil yang diperoleh daripada IPO akan membolehkan syarikat itu memenuhi fasa pengembangan perniagaan yang seterusnya.

Smart Asia Chemical memperuntukkan RM16 juta (42.78 peratus) daripada hasil IPO untuk membiayai pembinaan kilang di Perak dan RM11 juta (29.41 peratus) bagi membiayai sebahagian pembelian dan pentauliahan sistem pengeluaran cat automatik di kilang berkenaan.

"Lagi RM5 juta (13.37 peratus) diperuntukkan untuk pembelian 250 set Mesin Warna POS (titik jualan) Pengadun Warna Pintar. Baki kutipan akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian," kata Lim dalam ucapannya semasa pelancaran prospektus syarikat itu di sini, hari ini.

IPO itu melibatkan terbitan 93.50 juta saham-saham baharu pada harga terbitan 40 sen sesaham. Berdasarkan modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 369.85 juta saham dan harga IPO yang disebutkan itu, permodalan pasaran akan bernilai kira-kira RM147.9 juta.

Smart Asia Chemical tertumpu kepada pembangunan, pembuatan, pengedaran dan penjualan pelbagai jenis cat hiasan dan salutan pelindung untuk kegunaan di rumah dan industri.

Sementara itu, ia berkata pembinaan kilang itu di Batu Gajah, Perak, adalah untuk menyelaraskan operasi pembuatan serta meningkatkan aktiviti perkilangan terutamanya apabila kemudahan sedia ada di Johor telah mencapai kapasiti penuh.

Kilang di Perak akan memberi tumpuan kepada pembuatan cat hiasan berasaskan air dan salutan pelindung dengan anggaran kos pembinaannya adalah kira-kira RM28.20 juta.

Mengulas lanjut, Lim berkata kilang itu akan mempunyai jumlah keluasan binaan 95,170 kaki persegi, yang terdiri daripada kilang dua tingkat, gudang satu tingkat, bangunan pejabat dan kemudahan-kemudahan utiliti lain.

"Perak sangat strategik kepada kami kerana adanya kalsium karbonat yang banyak, iaitu bahan mentah utama dalam industri ini. Oleh kerana jarak yang dekat, kami boleh menjimatkan kos dari segi bahan mentah. Selain itu, Perak terletak di lokasi yang strategik di tengah-tengah Malaysia yang mana kami boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami di sebelah utara dan juga di bahagian tengah," kata Lim pada sidang akhbar.

Kilang syarikat itu di Perak dijadualkan dibuka pada 9 Mei tahun ini.

Daripada terbitan awam sebanyak 93.50 juta saham-saham baharu, Mercury Securities akan menaja jamin 30.59 juta saham-saham IPO, yang terdiri daripada 18.49 juta saham mewakili bahagian yang disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian.

Sebanyak 12.10 juta saham akan diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan Smart Asia Chemical dan anak-anak syarikatnya.

Baki 46.23 juta saham IPO akan diperuntukkan kepada pelabur-pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan 16.67 juta saham IPO akan melalui penempatan persendirian kepada pelabur-pelabur terpilih.

Mercury Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal.

Permohonan untuk IPO syarikat itu dibuka hari ini dan akan ditutup pada 13 Mei, 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan