BERITA TERGEMPAR   Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 EKONOMI

KERUGIAN BERSIH LOTTE CHEMICAL TITAN BERKURANGAN KEPADA RM178.03 JUTA

02/05/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT), berkurangan kepada RM178.03 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 berbanding kerugian bersih sebanyak RM224.76 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama pada 2023.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata pengurangan dalam kerugian bersih itu adalah berpunca oleh volum jualan yang lebih rendah dan penurunan dalam kerugian daripada syarikat bersekutunya, Lotte Chemical USA Corporation.

Pendapatan menyusut 2.7 peratus kepada RM1.92 bilion berbanding RM1.97 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2023 disebabkan oleh cabaran berterusan yang timbul daripada angka jualan yang agak lemah.

Dari segi segmen, perolehan bagi produk poliolefin menguncup kepada RM1.51 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2024 berbanding RM1.61 bilion yang direkodkan semasa suku yang sama tahun sebelumnya berikutan kejatuhan dalam volum jualan membabitkan produk dengan margin kecil dan harga jualan purata yang tidak memberangsangkan.

Pendapatan untuk produk olefin dan derivatif menokok kepada RM405.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 berbanding RM358.8 juta sebelumnya tetapi peningkatan hasil ini, sebahagiannya telah diimbangi oleh volum jualan yang lebih rendah.

"Melihat ke hadapan, LCT kekal berhati-hati dalam menguruskan perniagaan susulan ketidaktentuan yang timbul akibat turun naik harga minyak, lambakan petrokimia termasuk kelembapan dalam aktiviti ekonomi akibat tekanan inflasi dan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

“Disebalik semua cabaran ini, LCT berazam untuk memajukan prestasi operasi serta mengukuhkan lagi kedudukan pasarannya,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Park Hyun Chul.

Beliau menjelaskan dengan kadar penggunaan 65 peratus, selaras dengan panduan sebelum ini, LCT akan menumpukan usaha untuk menambahkan lagi pengeluaran disamping melaksanakan kecekapan kos termasuk amalan pengurusan aliran tunai selain meletakkan kumpulan ke arah kemampanan jangka panjang.

Kumpulan juga komited terhadap pemulihan loji dalam tempoh yang akan datang, memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan, prestasi loji dan keselamatan loji dengan ketara. 

“Pada masa yang sama, pembinaan projek Etilena Baharu Lotte Chemical Indonesia sedang berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang 2025. 

“Peluasan strategik ini akan menokok kapasiti pengeluaran kumpulan sebanyak 65 peratus,” katanya . 

LCT, anak syarikat Lotte Chemical Corporation di bawah Kumpulan Lotte merupakan pengeluar poliolefin kendiri pertama di Malaysia dan salah satu pengeluar olefin dan poliolefin bersepadu terbesar di negara ini dan Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan