AM

ANWAR DIJADUAL ADAKAN PERTEMUAN SECARA DALAM TALIAN DENGAN GOOGLE HARI INI

06/05/2024 10:53 AM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan secara dalam talian dengan syarikat gergasi teknologi Google hari ini.

Tanpa menyatakan butiran lanjut mengenai isu yang akan dibincangkan, beliau berkata Malaysia terus mendapat minat daripada pelabur asing.

“Apa yang kita fokus sekarang ini ialah pertumbuhan ekonomi dan saya lihat kita menerima banyak minat daripada pelabur asing,” kata beliau pada majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar juga berkata baru-baru ini, Microsoft telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM10.5 bilion di Malaysia. 

Berkongsi mengenai lawatannya ke Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, Anwar berkata negara tersebut telah menyatakan komitmen untuk pelaburan lain di Malaysia melalui syarikat gergasi tenaga boleh baharunya selama 10 tahun di sini.

Beliau turut memuji tahap kepantasan yang ditunjukkan negara itu dari segi kelulusan projek dan mahu Malaysia mencontohinya.

“Dari segi perubahan kecekapan, Arab Saudi yang dahulunya antara negara yang lembap...tetapi pada perjumpaan saya baru-baru ini dengan syarikat ACWA pada sekitar 9 hingga 9.30 pagi bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan pegawai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, mereka telah memaklumkan minat mereka (untuk melabur).

“Pada pukul 8 malam, mereka telah memberikan lampu hijau kepada kita untuk meneruskan pelaburan tersebut,” katanya.

Dilaporkan bahawa syarikat gergasi tenaga boleh baharu yang berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power telah menyatakan minatnya untuk melabur lebih US$10 bilion (US$1=RM4.77) di Malaysia untuk tempoh 10 tahun.

Antara projek yang dicadangkan ialah projek yang akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan, Cypark Resources Bhd.

Anwar juga berkata antara faktor yang menyebabkan Arab Saudi terus melabur di negara ini ialah keyakinannya terhadap Malaysia dari segi politik negara yang stabil, dasar kepimpinan yang jelas dan kecekapan daripada penjawat awam dan syarikat kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan