AM

NEGARA PERLU 84 BALAI BOMBA BAHARU - KPKT

19/05/2024 12:28 PM

MELAKA, 19 Mei (Bernama) -- Sebanyak 84 balai bomba baharu diperlukan dalam usaha meningkatkan kualiti, kemampuan dan kecekapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyalurkan perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata setakat ini Malaysia mempunyai 337 balai bomba dan indeks risiko kebakaran dijadikan sebagai pengukur dalam menentukan keperluan menambah jumlah balai bomba. 

"Jadi mana-mana (kawasan) yang ada keperluan mendesak, kita akan bina dahulu dan sudah tentu perkara ini bergantung kepada kewangan negara dan pembinaannya akan dilakukan mengikut fasa," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian acara Larian Bersama Bomba 2024 Malaysia MADANI di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. 

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohamad. 

Beliau berkata pembinaan 84 balai bomba baharu itu juga akan seiring dengan jumlah pegawai dan anggota yang berkhidmat di kemudahan itu serta balai sedia ada.

Setakat ini jumlah anggota bomba di seluruh negara hampir 15,000 orang dan pengisian jawatan juga hampir penuh manakala bagi pengambilan baharu pada tahun ini seramai 509 telah dipilih.

Beliau berkata KPKT serta JBPM juga sentiasa memastikan anggota dan pegawai yang bertugas sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengulas mengenai apa yang berlaku sejak kebelakangan ini termasuk insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, beliau berkata setiap balai bomba serta anggotanya sentiasa diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang perkara tidak diingini. 

Sementara itu, Nga berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengeluarkan kompaun kepada pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran terbuka khususnya sepanjang musim Monsun Barat Daya.

"Saya menasihatkan rakyat elak (melakukan) pembakaran terbuka dan arahan (kompaun) telah dikeluarkan kerana saya sangat bimbang sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal. Tahun lepas negara kerugian lebih RM2.6 bilion akibat pembakaran terbuka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan fenomena Monsun Barat Daya dijangka bermula semalam dan diramal berterusan sehingga September.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan