EKONOMI

PERTUMBUHAN PINJAMAN INDUSTRI PERBANKAN 5.4 PERATUS SEIRING JANGKAAN BAGI TAHUN INI

06/05/2024 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan sebanyak 5.4 peratus setakat tahun ini, adalah sejajar dengan unjuran julat pertumbuhan 4.0-5.0 peratus bagi 2024, kata AmInvestment Bank Bhd.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu berkata pertumbuhan pinjaman industri berkenaan meningkat sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024 berbanding 5.8 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan lebih kukuh dalam pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah.

“Pertumbuhan pinjaman isi rumah meningkat sedikit pada 6.3 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024 berbanding 6.2 peratus sebulan sebelumnya dengan pertumbuhan kekal meningkat bagi segmen gadai janji dan pinjaman peribadi,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah pada Mac 2024 turut meningkat kepada 5.5 peratus tahun ke tahun daripada 5.3 peratus pada Februari 2024, disumbangkan terutamanya oleh tahap pembiayaan kukuh bagi sektor pengangkutan, penyimpanan, komunikasi, kewangan, insurans dan perniagaan.

“Momentum bagi permohonan pinjaman kekal perlahan namun Mac 2024 menyaksikan keadaan lebih baik bagi kelulusan pinjaman bukan isi rumah.

“Pergerakan dalam kelulusan pinjaman sistem perbankan secara menyeluruh adalah negatif 12.3 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024 berbanding negatif 18.6 peratus tahun ke tahun pada Februari 2024," katanya.

Selain itu, AmInvestment Bank berkata bahawa rosot nilai pinjaman dan peruntukan berkurangan pada Mac 2024.

“Pinjaman terjejas kasar industri dan pinjaman terjejas bersih kekal stabil masing-masing pada 1.6 peratus dan 1.1 peratus.

“Pinjaman terjejas tertunggak industri susut sebanyak 0.7 peratus bulan ke bulan atau RM259 juta pada Mac 2024,” katanya.

Secara keseluruhannya, bank itu mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor berkenaan dan menjangkakan kadar dasar semalaman kekal pada 3.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang dijadualkan pada 9 Mei, 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan