AM

MALAYSIA TERUJA AMBIL ALIH KEPENGERUSIAN ASEAN TAHUN DEPAN

07/05/2024 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia teruja untuk mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun depan kerana ia berhasrat menyemarakkan forum-forum ASEAN dan menangani cabaran pada masa hadapan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata Malaysia membayangkan ASEAN yang bersatu dan berdiri sebagai blok serantau yang menggerunkan serta berdaya tahan dalam mendepani kesulitan global.

“Dengan membentuk konsensus kawal selia yang lebih kukuh serta menggerakkan strategi kita secara serentak, kita boleh mengambil tindakan kolektif yang meletakkan rantai kita di barisan hadapan perkembangan global,” katanya dalam ucapan alu-aluan di majlis makan malam Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamed Salim Fateh Din.

Justeru itu, Mohamad Fauzi berharap Mesyuarat Meja Bulat Pengawal Selia dan IRC 2024 akan membolehkan negara peserta menjalin kerjasama serta merancang langkah pada masa depan terutama sebagai ASEAN yang bersatu.

“Kita menghadapi cabaran global yang ketara dan tiada negara yang mampu menanganinya secara sendirian. Marilah kita bekerjasama, bertukar-tukar idea dan maju bersama,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata menjadi hos ASEAN pada 2025 boleh memanfaatkan Malaysia kerana ia menyerlah sebagai negara inklusif yang unik dengan kepelbagaian etnik dan latar belakang.

“Kekayaan budaya ini bukan sahaja memupuk perpaduan tetapi juga melengkapkan Malaysia dengan pemahaman mendalam mengenai keperluan keselamatan dalam talian rakyatnya yang pelbagai sekali gus menjadikan ia berada di kedudukan yang baik untuk menerajui usaha dalam bidang kritikal ini.

“Kepelbagaian bahasa sedemikian meningkatkan kecekapan komunikasi dan operasi untuk perniagaan asing di negara ini,” katanya. 

Beliau berkata memandangkan sektor Kecerdasan Buatan (AI) dan data raya telah menyaksikan lonjakan dalam pelaburan asing, Kepengerusian ASEAN juga mungkin meningkatkan usahanya untuk menarik pelaburan langsung asing dan domestik bernilai tinggi dalam bidang digital seperti AI dan analisis data raya.

Mohamad Fauzi berkata ini penting kerana perniagaan e-dagang memanfaatkan data raya untuk mengubah pengalaman digital mereka termasuk membeli-belah.

“Dengan menganalisis tingkah laku pelanggan, perniagaan boleh memperibadikan cadangan, mengoptimumkan harga dan mengenal pasti aktiviti penipuan.

“Ini membawa kepada pengalaman dalam talian yang lebih selamat, mudah dan akhirnya lebih berjaya untuk semua pihak,” katanya.

IRC 2024, yang dianjurkan oleh MCMC, menghimpunkan pakar komunikasi dan multimedia termasuk pengawal selia serta penggubal dasar, dari ASEAN, Korea, Australia dan United Kingdom.

Sejumlah 800 peserta menghadiri persidangan dua hari bertemakan Aligning Innovation with Safety for a Sustainable Future yang membincangkan pelbagai inovasi, teknologi baru muncul, kerangka kawal selia dan pendekatan dalam lingkungan industri komunikasi dan multimedia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan