AM

RUU KESELAMATAN DALAM TALIAN DIJANGKA DIBENTANG HUJUNG TAHUN INI

19/05/2024 02:58 PM

SEREMBAN, 19 Mei (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen selewat-lewatnya hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih meneliti beberapa perkara berkaitan RUU itu selain perlu mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta beberapa kementerian lain sebelum dibawa untuk kelulusan Kabinet.

“Kami baru habis mesyuarat ketiga yang dipengerusikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai RUU itu pada 14 Mei lepas di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Setakat ini saya boleh kata kira-kira 60 peratus (siap), draf memang sudah ada...ia akan mengambil sedikit masa...kalau sempat mungkin akan bawa ke Parlimen pada Julai tapi jika tidak sempat kita akan pastikan selewat-lewatnya sidang terakhir (Parlimen) hujung tahun,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita DAP itu  berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kelompok Biasa Bahagian Wanita DAP Negeri Sembilan yang dihadiri lapan Bahagian di sini hari ini.

Teo berkata RUU berkenaan bagi memastikan setiap platform provider atau sedia ada di negara ini mematuhi Prosedur Operasi Standard selain memudahkan pihak berkuasa bekerjasama mendapatkan maklumat dan menjalankan siasatan terhadap sebarang isu berkaitan keselamatan dalam talian.

Beliau berkata selain RUU itu pihaknya juga berhasrat mengemas kini RUU dan akta sedia ada yang berkaitan bagi menambah baik selain menutup sebarang jurang (loophole) yang wujud.

Pada Mac lepas, Teo dilaporkan berkata Kabinet memutuskan supaya Akta Keselamatan Dalam Talian diwujudkan dan Kementerian Komunikasi serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri diarah mengkaji keperluan akta itu.

Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata pihaknya akan menganjurkan program ‘Her Lead’ iaitu kursus bagi mengenal pasti dan mencungkil bakat individu dalam kalangan wanita DAP untuk tampil sebagai pemimpin, dijadualkan pada 20 dan 23 Jun ini.

“Program itu terbuka kepada semua wanita dan kita sasarkan 25 ke 30 orang sebelum memilih seramai 10 individu yang berpotensi dan akan buat program mentor mentee untuk mengasah bakat mereka sekurang-kurangnya setahun.

“Ini bagi memastikan mereka faham termasuk kerja Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan kerja di kerajaan selain kalau ada pilihan raya kita boleh cadangkan nama kepada pemimpin parti, kita tidak mahu alasan tiada calon wanita sesuai untuk diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan menjadi parti pertama mencapai matlamat 30 peratus wanita berada dalam kepimpinan kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan