EKONOMI

MALAYSIA LIHAT POTENSI BESAR UNTUK KERJASAMA LEBIH BAIK DENGAN CHINA DALAM 5 SEKTOR UTAMA - FADILLAH

07/05/2024 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Malaysia melihat potensi besar untuk kerjasama yang lebih baik dengan China terutamanya dalam infrastruktur, ekonomi digital, pembangunan hijau, kenderaan tenaga baharu dan industri nadir bumi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata inisiatif Malaysia MADANI, yang dilancarkan pada Januari 2023, sejajar dengan nilai dan prinsip Community Shared Future (CSF) yang diperjuangkan oleh Presiden Xi Jinping sejak 2013.

“Kedua-dua konsep menggalakkan dan mempromosikan inovasi, keprihatinan, keterangkuman dan saling menghormati.

“Rangka kerja ekonomi Malaysia MADANI bertujuan untuk mengukuhkan daya saing negara dengan memberi tumpuan kepada kemampanan fiskal, tadbir urus cemerlang dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

“Kedua-dua negara boleh menterjemahkan konsep ini menjadi realiti untuk manfaat rakyat masing-masing,” katanya dalam ucaptama pada Malaysia-China Commemorative Forum di sini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Acara itu dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific dengan kerjasama Majlis Perniagaan Malaysia-China dan China Daily, bertujuan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dan menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih baik antara Malaysia dan China.

Fadillah turut menekankan kepimpinan Malaysia dalam mempromosikan tenaga boleh baharu melalui kerjasamanya dengan China, dengan kedua-dua negara melabur dalam jumlah yang besar dalam teknologi bersih seperti tenaga solar, tenaga angin dan hidroelektrik.

Beliau berkata kerjasama Malaysia-China telah berkembang melangkaui teknologi, dengan kedua-dua negara aktif dalam inisiatif perkongsian pengetahuan untuk memanfaatkan potensi besar daripada tenaga hijau.

“Melalui inisiatif ini, kami berusaha untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan kesan perubahan iklim. Dengan memberi keutamaan kepada inovasi dan pembangunan mampan, Malaysia dan China memberikan sumbangan yang besar.

“Kami juga sedang menangani cabaran iklim global selain memanfaatkan peluang ekonomi baharu. Pendekatan ini menggalakkan pertumbuhan selain memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun yang lepas, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah US$98.80 bilion (RM450.84 bilion) pada 2023, dengan import dari China berjumlah US$56.69 bilion (RM258.63 bilion).

Import ini kebanyakannya terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, mesin dan bahan kimia, menunjukkan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Pengarah/Eksekutif (Pemangku) Majlis Perniagaan Malaysia-China Datuk AlvinTee Guan Pian menekankan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur China, terutamanya dalam industri pusat data.

“Malaysia antara negara terawal di rantau ini yang menceburi ekonomi digital. Kita mewujudkan Koridor Raya Multimedia untuk memacu pertumbuhan industri dan semasa kita membuka pintu kepada pelabur, kita perlu memastikan bahawa kita dapat memenuhi keperluan kandungan tempatan.

“Kita perlu memastikan mana-mana pelabur dari China, sumbangan kandungan tempatan adalah bersesuaian. Kita tidak mahu menutup pintu kita, tetapi ia perlu menjadi situasi menang-menang,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan