AM

SATUKAN PELABUHAN SARAWAK DI BAWAH PIHAK BERKUASA PUSAT LANGKAH POSITIF

07/05/2024 05:49 PM

KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Menyatukan beberapa pihak berkuasa pelabuhan berbeza di bawah pihak berkuasa pusat merupakan langkah positif dalam pengurusan pelabuhan di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'kelalan Baru Bian berkata penyatuan itu membolehkan kerajaan menyelaraskan operasi, perancangan dan pembangunan pelabuhan di negeri ini. 

“Ia juga membolehkan pelaksanaan satu visi dan dasar seragam bagi pembangunan pelabuhan.

“Apa yang penting dengan menyelaraskan yuran pelabuhan dan kapal, caj serta bayaran pelabuhan, pengguna dijamin akan kepastian dan keseragaman perkhidmatan serta caj di mana-mana pelabuhan yang mereka gunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan mengenai Rang Undang-Undangan Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Mengulas mengenai komposisi Lembaga Pihak Berkuasa Pelabuhan, Baru Bian berkata perlantikan ahlinya mesti berdasarkan merit dan tidak bermotifkan politik.

“Ahli perniagaan Sarawak dan daripada sektor profesional atau pihak berkepentingan lain, mereka mesti mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang berkaitan untuk menyumbang.

“Pelabuhan penting kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar jadi pengurusan pelabuhan di Sarawak mesti diamanahkan kepada individu profesional yang berkebolehan dan bijak,” katanya.

Pada 8 Jan lepas, dilaporkan bahawa Pelabuhan Bintulu yang ketika ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT), akan diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Sarawak pada Jun ini. 

Susulan keputusan itu, kerajaan Sarawak merancang untuk mewujudkan pihak berkuasa pelabuhan berpusat bagi menyelia semua pelabuhan di negeri ini secara sistematik. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan