AM

Projek Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi Diperluas Kepada 14 Kenderaan

12/05/2024 06:01 PM

ALOR SETAR, 12 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan projek Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Fasa Dua kepada 14 jenis kenderaan barangan mulai esok.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pertambahan dalam fasa dua ini menjadikan keseluruhan kenderaan barangan yang layak mendapatkan diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 sebanyak 23 jenis.

"Kesemua kenderaan barangan tersebut boleh membuat permohonan melalui Sistem MySubsidi Diesel bermula 10 pagi esok (Isnin)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan KPDN Zon Utara di  Anak Bukit dekat sini hari ini.

Kenderaan barangan berkenaan adalah lori rigid (curtain sider), lori katering makanan, lori rigid (hasil pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (panel van) serta lori rigid (kombinasi).

Kategori seterusnya adalah bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan dan lori rigid (sampah).

Armizan berkata pendaftaran bagi 14 jenis kenderaan barangan baharu itu boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

Beliau berkata antara kriteria permohonan yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kemudahan itu termasuk syarikat hendaklah berdaftar perniagaan di Malaysia, kenderaan mempunyai cukai jalan yang sah serta berkuat kuasa, dan kenderaan yang layak di bawah sistem tersebut.

Menurutnya lagi setelah permohonan diluluskan di peringkat sistem MySubsidi Diesel KPDN, pihak syarikat diharap dapat segera mengemukakan permohonan Fleet Card di lima syarikat minyak ditetapkan iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.

"Bagaimanapun setiap syarikat hanya boleh memilih tiga syarikat minyak untuk mendapatkan Fleet Card tersebut," katanya.

Dalam pelaksanaan SKDS 2.0 Fasa Satu, sembilan jenis kenderaan terlibat iaitu lori rigid (kargo am), penggerak utama, lori rigid (luton/kotak), lori rigid (tangki air), lori rigid (refrigerated), lori rigid (tangki tepung),  window van, panel van dan lori rigid (minuman botol).

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan perkara itu boleh hubungi Pusat Panggilan Sistem MySubsidi Diesel di talian 03-8882 6769 bermula 8 pagi sehingga 5 petang pada hari bekerja.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan