AM

PM Anwar Diberi Sambutan Rasmi Sempena Lawatan Sulung Ke Qatar

13/05/2024 09:29 PM

DOHA, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi oleh kerajaan Qatar sempena lawatan sulung beliau ke negara Asia Barat itu, di sini.

Perdana Menteri tiba di dewan pemerintahan negara Qatar itu pada 10.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia) disambut Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Anwar kemudiannya mengadap Sheikh Tamim di pejabat baginda sebelum bertemu rakan sejawatnya Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang juga Menteri Luar Negeri Qatar.

Lawatan Perdana Menteri itu yang memenuhi undangan baginda, disifatkan penting ke atas hubungan dua hala kedua negara berkenaan yang memasuki ulangtahun ke-50 hubungan dua hala tahun ini.

Kali terakhir kedua pemimpin itu bertemu adalah bulan lepas di Riyadh, Arab Saudi, yang turut menyentuh peranan Qatar yang signifikan terhadap rundingan Palestin-Israel ke arah gencatan senjata yang segera dan berkekalan.

Ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri ke Qatar selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10 pada 22 Nov 2022. 

Turut mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi tiga hari itu yang bermula semalam adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Anwar tiba di ibu negara ini semalam pada pukul 9.37 malam waktu tempatan (2.37 pagi waktu Malaysia Isnin) dengan menaiki pesawat khas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan