EKONOMI

Malaysia, Qatar Setuju Pertingkat Kerjasama Pelaburan Pada Tahun Mendatang - PM Anwar

13/05/2024 09:50 PM

Daripada Nur Baizura Basri

 DOHA, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Qatar bersetuju mempertingkatkan kerjasama pelaburan antara kedua-dua negara pada tahun-tahun mendatang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar berkata persefahaman itu dicapai ketika beliau mengadap Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan kemudiannya dibincangkan secara mendalam lagi ketika pertemuan dengan rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani. 

Perdana Menteri berkata turut dibincangkan semasa pertemuan dengan Sheikh Tamim adalah kerjasama dua hala dan mempermudahkan pelaburan serta pendidikan tinggi yang kemudiannya dibincangkan dengan lebih lanjut semasa bertemu dengan Sheikh Mohammed, yang juga merupakan Menteri Luar Negeri Qatar. 

"Kami berdua sepakat dan bersependapat bahawa kerjasama pelaburan antara kedua-dua negara perlu terus dipertingkat dalam tahun-tahun yang mendatang," kata beliau menerusi satu hantaran di laman X rasminya, hari ini. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata lawatan rasmi beliau ke Qatar yang merupakan atas jemputan Sheikh Tamim, turut terarah kepada usaha menerus dan memperkukuhkan ikatan dan jalinan diplomatik yang telahpun mencecah 50 tahun. 

"Delegasi Malaysia kemudiannya diberi penghormatan jamuan rasmi negara yang dihoskan oleh Sheikh Mohammed.

"Semoga ikatan persahabatan antara Malaysia dan Qatar akan terus berkembang demi manfaat bersama, Insya-Allah," kata beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri diraikan dalam satu sambutan rasmi dan jamuan makan tengah hari di Amiri Diwan, yang merupakan dewan pemerintahan Qatar,  sempena lawatan sulung beliau ke negara itu. 

Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit menghadap Sheikh Tamim, yang disusuli kemudiannya pertemuan dengan Sheikh Mohammed. 

Tahun lepas, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Qatar mencecah RM4.2 bilion. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan