AM

LKM SASAR 10,000 HEKTAR TANAMAN KOKO DALAM LIMA TAHUN

16/05/2024 06:45 PM

TAWAU, 16 Mei (Bernama) -- Lembaga Koko Malaysia (LKM) menggalakkan lebih ramai pemilik ladang kecil termasuk petani mengusahakan tanaman koko bagi mencapai sasaran keluasan tanaman komoditi itu sehingga 10,000 hektar seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pengarah LKM Datuk Dr Ramle Kasin berkata pihaknya bersedia membantu bagi menggalakkan penanaman koko melalui pelbagai program termasuk dari segi kepakaran kerana keperluan komoditi itu adalah besar.

Beliau berkata negara memerlukan 380,000 tan koko untuk pengisaran di Malaysia tapi hanya dapat mengeluarkan kurang daripada 500 tan koko oleh pengeluar sedia ada, justeru pihaknya sedang berusaha menggalakan lebih banyak tanaman itu.

“Biji koko premium juga mendapat permintaan dan tawaran harga yang tinggi. Pengusaha koko perlu lebih memahami kepentingan penjagaan kualiti biji koko yang dikeluarkan selaras dengan Standard Malaysian Cocoa (SMC) yang diguna pakai dalam menentukan gred biji koko.

"Kualiti biji koko yang dikeluarkan adalah menjadi keutamaan dan saya berharap agar lebih ramai lagi pengeluar menghasilkan biji koko yang unik seperti pengeluaran biji koko single origin atau special flavour," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus pasca tuai dan peningkatan hasil koko siri 1/2024 zon pantai timur Sabah di sini hari ini, dan kursus tiga hari bermula hari ini itu dihadiri 123 petani termasuk staf LKM.

Sementara itu Ramle berkata LKM memperuntukan RM5 juta untuk menjalankan Program Pemulihan Kebun Koko bagi memulihkan 1,344 hektar kawasan tanaman koko sedia ada di negeri ini.

Beliau berkata peruntukan itu adalah untuk pelaksanaan projek bagi tahun ini hingga 2026 yang memberi manfaat kepada 2,084 petani.

Menurutnya lagi, keluasan tanaman koko di Sabah pada ketika ini adalah sebanyak 23.9 peratus atau 1,463 hektar dan dijangka akan terus meningkat dengan tambahan keluasan daripada Program Tanaman Baru Koko.

"Bagi keluasan tanaman koko aktif di pantai timur Sabah adalah berjumlah 154 hektar yang diusahakan oleh 139 petani manakala kawasan tanaman koko baharu TB22 adalah seluas 20 hektar," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan