AM

PKNS RAIH TIGA ANUGERAH BERPRESTIJ DI STARPROPERTY AWARDS 2024

16/05/2024 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tiga anugerah berprestij di StarProperty Awards 2024 - Real Estate Developer di Petaling Jaya di sini semalam.

Anugerah tersebut adalah The Cornerstone Award - Best Landed Development bagi projek Puteri Ariana di Kota Puteri; The Family Friendly Award - Best Family Centric Development (Landed) - within Greater KL bagi projek Ixora di Antara Gapi; dan Readers' Choice Award - Newsmaker of the Year bagi Kempen Discover PKNS 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mahmud Abbas berkata PKNS amat menitikberatkan kualiti setiap seni bina dan landskap produk hartanah yang dibangunkan agar ia diyakini oleh pembeli sekali gus menarik orang ramai untuk memiliki produk berkenaan.

“Anugerah ini merupakan penanda aras bahawa kami berada di laluan yang betul serta memberi inspirasi kepada kami untuk beriltizam menyediakan projek hartanah bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Pengiktirafan ini juga sebagai motivasi untuk terus ke hadapan di samping membawa PKNS ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut kenyataan itu pengiktirafan tersebut bukan sahaja mencerminkan dedikasi perbadanan untuk mempertingkatkan industri seni bina yang memenuhi piawaian tertinggi, mematuhi kehendak pembeli serta membawa impak positif kepada komuniti dan industri secara keseluruhan, tetapi juga memberi inspirasi kepada semua pihak yang terlibat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Pengurus Besar Pembangunan Antara Gapi PKNS Lenny Liana Kasmain mewakili perbadanan itu untuk menerima anugerah bagi projek Ixora, anugerah untuk projek Puteri Ariana pula diwakili Pengurus Besar Pembangunan Kota Puteri PKNS Mohd Shahrol Md Sharif, manakala anugerah untuk Kempen Discover PKNS 2023 diwakili Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Fadli Mohd Ariff. 

StarProperty Awards 2024- Real Estate Developer adalah penyertaan kedua berturut-turut PKNS, dengan tahun lepas menyaksikan perbadanan itu memenangi anugerah The Starter Home Award-Best Primary Home Development bagi projek Residensi Advena.

Kenyataan itu memaklumkan anugerah yang dianjurkan oleh StarProperty Sdn Bhd itu adalah platform terbaik dan pengiktirafan tertinggi bagi setiap pembangunan.

Bagi edisi tahun ini ia menampilkan 39 kategori sebagai penghargaan kepada individu dan syarikat yang layak serta dilihat meningkatkan pertumbuhan industri hartanah negara.

Panel penilai terdiri daripada pakar industri hartanah dan mengetuai bidang masing-masing seperti seni bina, seni bina landskap, seni bina reka bangunan, reka bentuk dalaman serta perkhidmatan berkaitan dengan hartanah.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan