AM

INISIATIF 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG SEMARAK SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN

19/05/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan mengetengahkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG), bagi menyemarakkan semangat sambutan Bulan Kebangsaan, tahun ini.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata usaha mengibarkan bendera Jalur Gemilang, perlu bermula dari rumah yang menjadi tempat paling selamat untuk diduduki keluarga tersayang.

Beliau berkata perkara ini penting, kerana Jalur Gemilang merupakan simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia, yang mana ia akan dikibarkan pada setiap detik kejayaan yang ditempa di seluruh dunia.

“Amalan mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya ketika sambutan Bulan Kebangsaan, perlu sentiasa dipergiat.

“…saya turut mengingatkan semua pihak untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang sempurna, iaitu bendera yang tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh, kerana ia adalah gambaran sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ekspresi Bulan Kebangsaan di ibu negara hari ini.

Fahmi berkata program Ekspresi Bulan Kebangsaan itu, yang turut dilaksanakan secara serentak di Penampang, Sabah dan Kuching, Sarawak merupakan pendekatan kerajaan untuk memastikan usaha menyemarakkan perasaan cintakan negara, dapat meresapi rakyat di pelbagai peringkat.

Antara aktiviti yang menjadi pengisian program itu ialah pameran kenegaraan, persembahan kesenian, reruai foto, pertandingan mewarna kanak-kanak dan segmen ekspresi merdeka dan pameran miniatur berkonsepkan kemerdekaan, permainan tradisional dan busana tradisional.

Fahmi berkata bagi menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan, pihaknya turut menerbitkan Kompilasi Lagu Patriotik dan Perpaduan, yang mengandungi 22 lagu yang boleh dimuat turun secara percuma di portal rasmi Merdeka360.

“Saya berharap kompilasi lagu ini, dimanfaatkan di sekolah-sekolah dan Komuniti MADANI bersempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, agar kita dapat meraikan suasana itu dengan keadaan aman dan damai bersatu padu, sambil diiringi azam baru untuk membangunkan negara,” katanya.

Berhubung Komuniti MADANI pula, Fahmi menyifatkan penubuhan platform itu di bawah Jabatan Penerangan (JaPen), sebagai barisan hadapan untuk meningkatkan kefahaman mengenai usaha kerajaan dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

Beliau berkata ini termasuk usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat serta pendekatan bagi menangani isu 3R, fitnah dan berita palsu yang berlaku dalam negara.

“Kita sudah aturkan pelbagai program untuk 1,878 Komuniti MADANI ini yang akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai daerah, bagi memastikan mesej kerajaan sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan