AM

KONVOI KEMBARA MERDEKA MERIAHKAN MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN

16/07/2024 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 pada 21 Julai ini di Cyber Event Hall, Cyberjaya bakal menyaksikan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang melibatkan 65 kenderaan dan 90 peserta. 

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib berkata konvoi berkenaan termasuk empat unit kenderaan dari Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), enam unit dari Polis Diraja Malaysia (1 SUV dan 5 unit motosikal), 50 unit motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Suzuki V-Strom Malaysia dan lain-lain.

“Antara pengisian program adalah penganjuran Persembahan Patriotik (Pentas Seni) yang termasuk Buskers PENTARAMA, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Bintang Patriotik, Persembahan Angklung, Deklamasi Syair Berirama dan Deklamasi Sajak Bahtera MADANI.

“Pentas Seni dalam Karnival Kita MADANI X HKHM menampilkan persembahan patriotik dan pertandingan termasuk Buskers PENTARAMA JAPEN dengan lagu-lagu patriotik serta persembahan muzik angklung, tarian, syair berirama dan deklamasi sajak dari UiTM,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Bual Bicara terbitan Bernama TV, Apa Khabar Malaysia di Wisma Bernama hari ini.

Beliau berkata tema bagi Pertandingan Mewarna melibatkan kanak-kanak dari Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan Daerah Sepang adalah perpaduan dan patriotik, manakala Pertandingan Bintang Patriotik untuk nyanyian lagu-lagu patriotik terbuka kepada orang ramai di bawah kelolaan JAPEN.

Mazlan yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kerja HKHM 2024 berkata Majlis Pengumuman Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 diadakan pada 5 Jun lepas dengan sambutan tahun ini mengekalkan logo yang sama seperti tahun sebelumnya dan memperkenalkan tema baharu iaitu 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka'.

Kementerian Komunikasi selaku Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai dan menjayakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024.

“Semua program dan aktiviti berkonsepkan karnival rakyat ini adalah untuk dinikmati bersama. Bawa keluarga, rakan-rakan dan rakamkan momen ini untuk dimuat naik di media sosial dengan tanda pagar #HKHM2024, #MALAYSIAMADANI, #JIWAMERDEKA dan #MERDEKA360," kata Mazlan.

Acara yang bakal diadakan pada 21 Julai itu bertujuan mengukuhkan semangat patriotisme melalui format karnival komuniti dengan pelbagai aktiviti dan inisiatif.

Untuk maklumat lanjut mengenai program sepanjang Bulan Kebangsaan, orang ramai boleh melayari portal rasmi di www.merdeka360.my serta media sosial Merdeka360 di Facebook, Instagram, X dan TikTok.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan