AM

PEKAN ULU TIRAM PERLUKAN 'PEREMAJAAN', TUKAR IMEJ 'PEKAN KOBOI'

19/05/2024 09:03 PM

Oleh Noraizura Ahmad

JOHOR BAHRU, 19 Mei (Bernama) -- Walaupun Pekan Ulu Tiram sudah menikmati banyak kemajuan dari segi ekonomi dan sosial sesuai dengan usianya yang hampir seabad, namun ia dilihat memerlukan program ‘peremajaan’, supaya pembangunannya sentiasa seiring dengan perkembangan semasa.

Anak jati Ulu Tiram yang juga Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Tiram Fauzi Faizal berkata program peremajaan itu, perlu bagi meningkatkan lagi taraf ekonomi, pelancongan dan keselamatan di kawasan terbabit.

“Kita sebenarnya nak letak pekan Ulu Tiram sebagai sebuah pekan lama yang diremajakan semula, dengan diberi nafas baharu dan dijadikan bandar selamat serta berkonsepkan pelancongan di Zon Tiram.

“Saya nak mellihat pekan Tiram ini sebagai pekan yang macam Melaka, walaupun pekan lama, tapi banyak daya tarikan positif yang ada di pekan ini.

“Di sini (Ulu Tiram) mempunyai sejarahnya, jadi mungkin bangunan lama boleh dibaik pulih dan mengindahkan landskap seperti lukisan mural,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Fauzi, 39, berkata perancangan program tersebut, akan dibentangkan kepada MBJB untuk dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan.

Beliau berkata menerusi program peremajaan terbabit, ia akan memantapkan lagi sistem keselamatan di kawasan terbabit, dengan memperluaskan lagi penggunaan kamera litar  tertutup (CCTV) pekan berkenaan.

“Penggunaan CCTV itu nanti, bukan sahaja dapat membantu dalam mengesan aktiviti negatif di kawasan berkenaan secara berkesan, malah pelakunya juga dapat dikenal pasti dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Ulu Tiram Shazrul Idham Abd Aziz berkata sudah tiba masanya pekan terbabit diberikan ‘nafas’ baharu, memandangkan usia pembukaan penempatan yang kini bukan sahaja didiami warga tempatan tetapi juga warga asing itu, sudah memasuki 97 tahun.

“Kawasan ini semakin padat dan apabila ada pembaharuan, sudah tentu akan merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat selain mengutamanakan isu keselamatan,” katanya.

Shazrul Idham berkata sektor perindustrian dan perkilangan di kawasan tersebut, menjadi sumber ekonomi kepada penduduk setempat serta mereka yang datang dari luar Ulu Tiram.

Selain itu, Shazrul Idham berkata program tersebut juga, dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap kawasan terbabit yang dikenali sebagai ‘pekan koboi’, dan boleh menjadi pekan pelancongan selepas ia dilaksanakan.

Pekan Ulu Tiram yang terletak di utara Johor Bahru menjadi ‘bualan’ baru-baru ini, susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang mengakibatkan dua anggota polis terkorban, manakala seorang lagi cedera.

Mengulas mengenai kejadian itu, Fauzi berkata penduduk disarankan untuk tidak panik dan meletakkan kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kejadian itu tidak sering berlaku...Saya yakin dan percaya dengan kecekapan PDRM untuk menjaga keselamatan di kawasan ini,” katanya.

Tinjauan Bernama di Pekan Ulu Tiram mendapati, aktiviti penduduk setempat berlangsung seperti biasa tanpa ada kegusaran selepas kejadian berdarah yang berlaku di kawasan tersebut pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan